MEHNAH DAN IBTILA’
DALAM GERAKAN DAKWAH

 

Disediakan oleh:
Mohd Rawizal b. Mohd Nawi
Fakulti Syariah Wal-Qanun (Syariah Islamiah)

 

ABSTRAK
Dakwah Islamiah adalah satu-satunya nadi penggerak dalam penyebaran agama Islam di muka bumi. Taklifan ini sudah tentunya terpikul di atas bahu setiap Muslim yang berikrar beriman kepada Allah yang Esa dan Rasulullah Sallalahu 'Alaihi Wasallam sebagai utusan-Nya. Tuntutan amar makruf dan nahi munkar pula menjadi satu wasilah dakwah sejak diutuskan para Anbiya' lagi untuk menyeru manusia ke arah keimanan yang sebenar dan mencegah sebarang bentuk kemungkaran di dalam anggota masyarakat. Justeru, di dalam menjalankan tugas ini para pendakwah di jalan Allah seringkali keliru apabila menempuh perjalanan yang sukar sebelum sampai ke matlamat yang dituju sehingga terdapat di kalangan mereka yang tercicir daripada meneruskan amanah yang mulia ini. Mehnah dan Ibtila' bukanlah suatu hukuman dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang tidak sepatutnya ditempuh lantas menggugat jati diri seseorang pendakwah kebenaran. Bahkan ia adalah ujian bagi mempersiapkan pejuang-pejuang-Nya menuju kejayaan yang cemerlang di medan dakwah.

1.0 PENGERTIAN MEHNAH DAN IBTILA’

Perkataan mehnah berasal daripada bahasa Arab مَحَنَ- يَمْحَنُ- مَحْنًا مِحْنَةٌ yang membawa maksud ujian dan seksaan yang berat , iaitu menguji manusia dengan bala. Ia juga membawa maksud cubaan, kesempitan atau kesusahan. Manakala maksud penggunaan محنة dari segi majaz ialah 'menyepuh perak dengan api' . Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

“Merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertakwa”

Perkataan Ibtila’ pula berasal dari bahasa Arabإِبْتِلاَءٌ بَلاَ- يَبْلُوْ- بَلْوًا وَبَلاَءً juga membawa maksud cubaan, ujian dan dugaan. Firman Allah Ta'alan yang bermaksud:

“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan”.

1.1 PENGERTIAN DAKWAH:

Pengertian Dakwah dari sudut bahasa:
1- Bermaksud “Panggilan”; iaitu memanggil seseorang akan seseorang yang lain.
2- Bermaksud “Seruan kepada sesuatu”
3- Bermaksud “Seruan kepada satu perkara yang ingin disabitkan atau dibela sama ada perkara itu benar atau batil”.
4- Bermaksud “Percubaan dengan lisan atau perbuatan untuk mengalih pandangan manusia kepada suatu mazhab atau agama”.
5- Bermaksud “Rayuan dengan permintaan dan keinginan terhadap suatu kebaikan”.

Pengertian Dakwah dari sudut istilah:
Pengertian dakwah kepada Allah yang kita maksudkan di sini ialah dakwah yang wajib dilaksanakan oleh orang-orang Islam, yang bertujuan untuk:
1- “Mengasaskan masyarakat Islam’; seperti dakwah para rasul yang dimulai dengan masyarakat jahiliyyah daripada dakwah manusia kepada agama Allah Subhanahu Wa Ta'ala, menyampaikan wahyu-Nya kepada mereka dan memberi peringatan kepada mereka dari menyekutukan-Nya.
2- “Menyeru ke arah kebaikan dalam masyarakat Muslim” yang ditimpa dengan penyelewengan dengan menghapuskan perkara-perkara munkar dan amalannya.
3- “Mengekalkan dakwah dalam masyarakat yang ditegak dengan kebenaran” bagi memelihara keselamatannya dengan memberi peringatan dan pengajaran yang berterusan.

2.0 KEWAJIPAN DAKWAH ISLAMIAH KEPADA SETIAP MUSLIM

Manusia mula diutuskan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala ke atas muka bumi dengan turunnya Nabi Adam 'Alaihissalam bagi memikul satu taklifan penting iaitu menyebarkan dakwah Islamiah dan memakmurkan bumi Allah dengan syariat yang diredhai oleh-Nya. Di dalam Al-Quran disebut perihal Nabi Adam 'Alaihissalam yang mana Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah memerintahkan para malaikat dan Iblis supaya sujud kepada Adam. Ini menunjukkan bahawa manusia adalah semulia-mulia makhluk ciptaan-Nya dan manusialah yang akan memikul tanggungjawab khalifah di muka bumi. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.

“(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.

Tanggungjawab sebagai khalifah bukanlah satu tugas yang remeh dan ringan tetapi ia merupakan tugas yang amat berat kerana manusialah pewaris risalah para Anbiya', penegak kebenaran dan pembawa risalah Quran. Allah Subhanahu Wa Ta'ala menegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:
” Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.

Sudah semestinya kita menyedari bahawa taklifan yang pertama kita berada di atas bumi Allah ini adalah semata-mata untuk beribadat dan menghambakan diri kepada-Nya. Segala keimanan dan ketakwaan kita serahkan kepada Allah sebagai tanda kepatuhan dan 'ubudiyyah kepada-Nya serta mengharapkan keredhaan-Nya. Dengan demikian kita sudahpun berhasil melaksanakan sebahagian daripada tuntutan dan perintah Allah terhadap diri sendiri dengan melakukan segala kewajipan yang diperintahkan seperti solat fardhu, puasa, zakat, haji, dan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, qiamullail, puasa sunat, zikir, membaca Al-Quran dan sebagainya. Walau bagaimanapun dari sudut yang lain, syarak juga memfardhukan kepada setiap Muslim supaya menyeru orang lain dengan perkara-perkara yang ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Dengan ini, ayat tadi jelas menunjukkan kewajipan berdakwah kepada umat Islam dan hukum berdakwah ialah fardhu kifayah. Sementara apabila seseorang individu Muslim itu melihat kemungkaran secara terang-terangan, maka Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam mewajibkan seruan dakwah ini kepada setiap Muslim. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud yang bermaksud:

“Sesiapa yang di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu maka ubahlah ia dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu juga maka ubahlah ia dengan hatinya, yang demikian itu merupakan selemah-lemah iman".

Yusuf Al-Qaradhawi ada menyebut bahawa tidak memadai dengan hanya beriman dan beramal soleh semata-mata untuk dirinya sahaja tanpa menyeru orang lain ke arah kebenaran. Umpama orang yang menuntut ilmu tetapi tidak pula menyebarkan ilmu itu kepada orang lain adalah sia-sia sebagaimana dinyatakan dalam surah Al-'Asr bahawa manusia akan terlepas daripada kerugian sekiranya menyeru orang lain dengan kebenaran. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

“Demi Masa!; Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Oleh yang demikian, tugas dakwah yang diperintahkan oleh Allah kepada hambanya adalah satu tugas yang amat besar dan mencabar. Matlamat yang tertinggi untuk dituju ialah Allah, tidak ada sesuatu yang lain melainkan Allah. Manakala kepentingan dakwah juga amat besar iaitu untuk memimpin dunia, mengajar dan menunjuki seluruh umat manusia kepada syariat Islam yang solehah meliputi keseluruhan aspek kehidupan dengan pengislahan yang paling sempurna serta memberi kebahagiaan kepada seluruh manusia. Justeru, di dalam melaksanakan perintah Allah dan menyebarkan mutiara kebenaran di alam ini sudah pasti akan mengharungi pelbagai mehnah dan dugaan yang sedikit sebanyak menguji keimanan dan kesabaran para penda'ie. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.

Walaupun terpaksa menempuh pelbagai ujian yang hebat, Allah Subhanahu Wa Ta'ala tidak lupa kepada hambanya yang ikhlas berjuang. Segala penderitaan dan pengorbanan yang telah dicurahkan olehnya sebagai tanda mentaati perintah Allah sebenarnya menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda iaitu kejayaan dan kebahagiaan di dunia serta syurga yang kekal abadi di hari akhirat. Semua itu adalah di bawah lembayung rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala ke atasnya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Allah telah menjanjikan untuk orang-orang mukmin laki-laki dan oang-orang mukmin perempuan syurga yang mengalir air sungai di bawahnya, serta kekal di dalamnya dan beberapa tempat kediaman yang indah dalam Syurga 'Adn, dan keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar”.

2.1 PERINGKAT-PERINGKAT DAKWAH

Setelah menyedari kewajipan dakwah kepada setiap Muslim, maka haruslah diketahui peringkat-peringkat dakwah sebagaimana yang telah dipamerkan oleh baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Terdapat tiga peringkat dakwah iaitu:

Peringkat Pertama:

Peringkat pertama dalam dakwah ialah tanggungjawab seseorang terhadap dirinya. Peringkat ini menuntut supaya menanam kepercayaan dan keyakinan di dalam diri sendiri terhadap tanggungjawab serta kemampuan kita di dalam medan dakwah. Ini dapat kita lihat semasa penurunan wahyu yang pertama merupakan suatu masa yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang memberi ketenangan dan keyakinan bahawa ianya rasul yang benar. Manakala pelaksanaan dakwah terhadap diri individu Muslim yang menyambung risalah baginda pula adalah meliputi aspek akidah, ibadah, dan akhlak yang mana seorang Muslim haruslah memahami Islam dengan kefahaman yang mendalam. Hal ini tidak lain hanyalah dengan menuntut ilmu pengetahuan dan beramal dengan keseluruhan syariat Islam yang meliputi tiga perkara tadi. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“(Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”.

Peringkat Kedua:

Peringkat kedua ialah tanggungjawab setiap Muslim terhadap kaum keluarganya kerana setiap Muslim adalah bertanggungjawab menyampaikan seruan dakwah kepada kaum keluarganya. Untuk yang demikian maka Tuhan telah meminta rasul-Nya supaya menyampaikan seruan dakwah kepada kaum keluarganya secara khusus ketika permulaan wahyu. Sebenarnya peranan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai ketua keluarga tidak membezakan dengan Muslim yang lain iaitu untuk menegakkan sebuah keluarga Muslim yang merangkumi seruan dakwah kepada isteri, anak-anak serta kerabat terdekat berpandukan dalil Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”

Peringkat Ketiga:

Peringkat ketiga ialah tanggungjawab alim ulamak terhadap kawasan daerahnya dan tanggungjawab pemerintah terhadap negara dan rakyat jelatanya. Hendaklah difahami bahawa dakwah ini ditujukan kepada semua manusia tanpa mengira lapisan, umur, taraf pemikiran, fahaman dan pegangan yang dianuti. Tugas pendakwah sebenarnya mengambil tempat selepas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kerana mereka adalah warisan yang sebenar dalam Islam. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud:

“ Alim ulamak adalah pewaris para nabi'”

3.0 MEHNAH DAN IBTILA’ DALAM GERAKAN DAKWAH PARA ANBIYA'

Dakwah Nabi Musa 'Alaihissalam :

Seruan dakwah Nabi Musa 'Alaihissalam kepada kaum Bani Israil mendapat tentangan daripada seorang raja yang amat zalim dan angkuh bernama Firaun. Kekalahan tukang-tukang sihir Firaun di tangan Nabi Musa 'Alaihissalam mengakibatkan Firaun menjadi bertambah murka hingga bermaksud untuk menghapuskan sekalian kaum Bani Israil yang dipimpin oleh Nabi Musa 'Alaihissalam. Akhirnya Nabi Musa 'Alaihissalam serta kaumnya pun segera mengambil keputusan untuk melarikan diri mereka dari negeri Mesir. Begitulah keadaannya betapa sulit dan besarnya cabaran yang terpaksa ditanggung oleh Nabi Musa 'Alaihissalam dalam usahanya hendak menyelamatkan Bani Israil dari kekejaman tentera Firaun yang akan memburu mereka itu. Tatkala mereka dikejar sehingga sampai ke Laut Merah, mereka mulai merasa cemas dan kebuntuan ke manakah lagi beliau hendak membawa angkatannya itu. Tetapi Tuhan yang maha kuasa yang sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-Nya telah menyelamatkan mereka dengan menunjukkan satu mu'jizat yang besar, Laut Merah tiba-tiba terbelah menjadi dua lalu terbentang sebuah jalan yang luas dan selamat untuk dilalui oleh kaumnya. Dengan kuasa Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga telah menenggelamkan sekalian angkatan tentera Firaun termasuk dirinya sendiri.

Dakwah Nabi Nuh 'Alaihissalam :

Cabaran Nabi Nuh pula tidak kurang beratnya dalam menghadapi kedegilan kaumnya yang menyembah patung berhala serta terpesong ke arah kesesatan dan kekufuran. Disebabkan pengikut-pengikut Nabi Nuh yang terdiri daripada orang-orang yang lemah dan miskin, mereka menjadi durhaka dan semakin sombong terhadap Nabi Nuh dengan memperbodohkan dan menghina pengikutnya yang miskin. Nabi Nuh tetap tenang dan bersabar dalam menghadapi kaumnya yang biadap dan sombong sehingga didatangkan azab yang dijanjikan oleh Allah dengan menenggelamkan kaumnya yang kuffar dalam banjir yang dahsyat. Lebih menyedihkan lagi bagi Nabi Nuh ialah apabila melihat puteranya yang bernama Kan’an yang durhaka turut mati dalam ombak banjir itu. Hal ini telah diterangkan di dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Dan Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.

Begitulah gambaran seruan dakwah yang telah dilaksanakan oleh Nabi Nuh yang mana beliau dianggap sebagai manusia yang paling panjang umurnya iaitu kira-kira hampir 1,000 tahun lamanya. Sesetengah penulis agama Islam mengatakan bahawa umur Nabi Nuh 'Alaihissalam itu adalah 950 tahun tetapi beliau hanya berjaya mengislamkan tidak sampai seratus orang sahaja.

Dakwah Nabi Ibrahim 'Alaihissalam :

Kisah riwayat Nabi Ibrahim 'Alaihissalam adalah satu kisah yang penuh dengan perjuangan dan percubaan. Semasa hayatnya Ibrahim 'Alaihissalam ditentang oleh seorang Raja Namrud yang zalim dan besar kekuasaannya yang mana baginda tidak senang dengan pengajaran-pengajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim 'Alaihissalam. Sebelum Nabi Ibrahim menyeru umatnya supaya menyembah Allah Subhanahu Wa Ta'ala beliau lebih dahulu menyampaikan seruannya itu kepada ayahnya sendiri kerana dia adalah seorang musyrik dan bekerja membuat patung-patung lalu dijualnya kepada orang ramai untuk disembah. Tetapi alangkah dukacitanya Nabi Ibrahim apabila ayahnya tetap enggan menurut ajarannya dan bahkan ayahnya menjadi amat marah lalu menghalaunya dari rumah. Seruan beliau kepada kaumnya pula merupakan mehnah yang terbesar bagi Nabi Ibrahim. Beliau tetap dicemuh dan dihina oleh kaumnya walaupun beliau telah mengemukakan hujjah yang bijaksana yang boleh diterima oleh akal fikiran supaya meninggalkan perbuatan menyembah patung-patung berhala. Kemudian terjadi pula satu peristiwa penting yang mana Raja Namrud memerintahkan supaya Ibrahim 'Alaihissalam ditangkap dan dibakar hidup-hidup kerana telah memusnahkan patung-patung berhala.Tetapi Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang maha kuasa tidak menghendaki yang demikian itu. Dengan demikian, Ibrahim sedikitpun tidak berasa panas dalam api itu bahkan seurat rambutnya pun tidak terbakar. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”.

Dakwah Nabi Isa 'Alaihissalam :

Nabi Isa 'Alaihissalam diutuskan oleh Allah juga untuk menyeru kaum Bani Israil beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Maka banyaklah tentangan yang diterima dari kaumnya itu, walaupun demikian ada juga diantara kaum pendita Yahudi yang sanggup menjadi pengikut-pengikutnya yang setia. Disebabkan kaumnya yang lain enggan beriman dengan ajarannya maka pembesar-pembesar Rom dan pendita-pendita Yahudi itu akhirnya telah membuat keputusan untuk membunuh Nabi Isa 'Alaihissalam. Orang yang mencadangkan agar Nabi Isa dibunuh ialah seorang Yahudi yang bernama Yahuza. Mujurlah rancangan mereka yang keji itu diketahui oleh Nabi Isa 'Alaihissalam dan tanpa berlengah-lengah mereka segera bersembunyi untuk menyelamatkan dirinya.

Bagaimanapun Nabi Isa 'Alaihissalam serta pengikutnya akhirnya telah dikepung oleh pihak musuh. Dalam keadaan yang amat genting itu Nabi Isa berasa amat kecewa kerana seorang demi seorang daripada pengikutnya telah meninggalkannya sehingga yang tinggal bersamanya berjumlah 12 orang sahaja dan mereka inilah yang sanggup sehidup semati dengan baginda. Mereka yang 12 orang inilah yang digelar Al-Hawariyyun oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam kitab suci Al-Quran. Tetapi tatkala Yahuza dan tentera musuh menyerbu masuk untuk menangkap Nabi Isa, Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah menukarkan wajah Yahuza hampir serupa dengan Nabi Isa 'Alaihissalam. Sebaliknya mereka yang menyangka Yahuza itulah Nabi Isa 'Alaihissalam lalu menangkapnya kemudian menyalib pemuda Yahuza hingga mati di tiang salib.

Dakwah Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

Tatkala Allah memerintahkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berdakwah secara terang-terangan dengan turunnya firman Allah yang bermaksud:

"Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.”

Di kala itu juga baginda mendapat penentangan yang amat hebat daripada Abu Lahab dan bangsa Quraisy seluruhnya yang telah mengejek dan mencemuh seruan baginda dengan alasan mereka tidak sanggup meninggalkan agama yang diwarisi dari datuk nenek mereka. Lalu turunlah ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Binasalah kedua-dua belah tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama”.

Namun demikian seruan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam tetap diteruskan dengan menyampaikan seruan dakwah kepada kaum keluarganya. Malang sekali bapa saudaranya sendiri Abu Talib tetap berdegil untuk menyahut seruan ini sehinggalah ke akhir hayatnya.

Susulan daripada dakwah secara terang-terangan ini meningkatkan lagi penentangan dan penyeksaan puak Quraisy kepada para sahabat dan golongan yang telah memeluk Islam. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri menurut satu riwayat yang diceritakan oleh ‘Amru bin Al-Ash, ketika Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersembahyang di Kaabah, ‘Uqbah bin Abi Muit datang mencekik baginda dengan bajunya lalu baginda diselamatkan oleh Abu Bakar Radhiallahu 'Anhu. Satu lagi apa yang diceritakan oleh Abdullah bin Umar Radhiallahu 'Anhu ketika Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sedang sujud sembahyang di tengah-tengah puak Quraisy datanglah 'Uqbah bin Abi Muit melemparkan najis sembelihan ke atas belakang Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Sahabat-sahabat Rasulullah Ridhuanallahu ‘Alaihim Ajma'in juga mengalami seribu satu penyeksaan. Memadailah dengan apa yang telah diceritakan oleh Bukhari bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditanam dalam tanah, kemudian dibawa gergaji dan digergaji dari kepalanya hingga ke bawah hingga terbelah dua, diganyang dengan penyakar-penyakar besi hingga ke tulang dan urat sadar, namun sekali-kali mereka tidak mengubah pendirian mereka.”

Dan di antara kesengsaraan dan dugaan berat terpaksa ditanggung oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan sahabat-sahabat ialah menghadapi suasana operasi pemulauan ekonomi yang kejam selama tiga tahun. Diceritakan bahawa mereka terpaksa memakan daun-daun dan pucuk kayu kerana peniaga-peniaga telah melipat gandakan harga jualan mereka supaya sahabat-sahabat nabi tidak mampu membeli sesuatupun dari mereka. Kemangkatan Siti Khadijah isteri Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan Abu Talib bapa saudaranya pada tahun yang sama merupakan saat yang paling pahit ditempuh oleh baginda. Ini kerana pada Khadijahlah baginda mengadu hal dirinya di kala duka dan orang yang menghiburkan baginda sedangkan Abu Talib pula adalah pembantu dan penolongnya untuk menghalang pencerobohan kaumnya.

Dalam peristiwa perantauan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam ke Thaif pula, penderitaan dan azab sengsara telah ditemuinya di sana ketika baginda mengemukakan hasrat dakwahnya kepada beberapa orang dari ketua-ketua puak Thaqif. Seruannya ditolak mentah-mentah bahkan mereka bertindak penuh kekerasan dan makian yang bertalu-talu. Tidak memadai setakat itu malah ada di antara mereka hamba abdi, khadam dan anak-anak nakal Bani Thaqif melontar baginda dengan anak-anak batu hingga luka kedua-dua kaki baginda. Terasa sempit dada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam hingga menemui jalan buntu dan kehabisan ikhtiar hingga tidak ada jalan lain hanya menadah tangan berdoa kepada Allah tatkala baginda berehat sebentar dalam perjalanan pulangnya.

Namun, hanya keimanan yang kental, ketabahan yang padu, kesabaran dan tawakkal kepada Allah sahajalah yang menjadi teman perjuangan baginda. Segala kesulitan, penderitaan, mehnah dan ibtila’ yang ditempuhi tetap berterusan sehingga Allah memberi petunjuk serta pertolongan kepada rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Segala pengorbanan yang dicurahkan akhirnya membuahkan natijah apabila daulah Islamiah terbina di Madinah Al-Munawwarah. Cabaran dan halangan yang dihadapi oleh baginda berterusan selepas hijrah sehingga peristiwa kemenangan besar umat Islam menawan semula Kota Mekah setelah beberapa tahun meninggalkannya. Islam dapat ditegakkan dengan gemilang ke seluruh pelusuk alam akhirnya dengan tersebarnya Islam ke seluruh jajahan Tanah Arab melalui perjuangan baginda dan para sahabat yang sentiasa bersabar apabila diuji serta sanggup menghadapi segala rintangan dengan penuh keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

4.0 HIKMAT MEHNAH DAN IBTILA’ DALAM DAKWAH ISLAMIAH

Apa yang terlintas di dalam benak fikiran kita terhadap rintangan, penyeksaan dan cemuhan yang dihadapi oleh para Anbiya' sebagai pembawa risalah Islam ini timbul satu pertanyaan: Kenapakah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan sahabatnya rela menanggung segala azab sengsara dan penyeksaan sedang mereka ini dalam kebenaran? Kenapa pula Tuhan tidak melindungi mereka sedangkan mereka adalah askar-askar-Nya dan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pula pendakwah dan pejuang ke jalan-Nya? Sebalikya kenapa pada masa yang sama Allah menguji mereka dengan pelbagai penderitaan seperti kehilangan kerabat yang dikasihi atau gagal menyelamatkan keluarga yang terdekat kepada Islam?

Sesungguhnya Tuhan tidak akan membiarkan hamba-Nya keseorangan tanpa pertolongan dan perlindungan dari-Nya. Setiap pancaroba dan dugaan yang ditanggung oleh seseorang pendakwah mengandungi rahsia dan hikmatnya yang tersendiri. Kalaulah Tuhan menghendaki supaya ditegakkan sebuah masyarakat Islam tanpa bersusah payah nescaya mudah sahaja bagi-Nya. Namun demikian sebagai seorang mukallaf di dunia ini seseorang itu mesti melaksanakan segala perintah dan suruhan-suruhan Allah yang berat dan susah. Seseorang itu wajib berpegang dengan ajaran Islam dan mendirikan masyarakat yang sejati dan seterusnya mengharungi sebarang kepayahan dan menghadapi segala kesusahan untuk mencapai tujuan tersebut. Antara rahsia dan hikmat yang terungkap di dalam ujian Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada hamba-Nya ialah:
1) Lahirnya sifat kehambaan dan keabdian manusia terhadap Allah Azzawajalla , seperti yang ditegaskan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

” Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

2) Melaksanakan sifat taklif atau tanggungjawab “mukallaf" sebagai sebahagian dari sifat keabdian terhadap Allah dengan mengharungi lautan penderitaan demi mempraktikkan syariat Islam ke atas dirinya dan melaksanakan peraturan-peraturan Islam di dalam masyarakatnya.

3) Menampakkan kebenaran mereka yang benar dan kedustaan mereka yang dusta, kalau dibiarkan manusia mengaku Islam dan cintakan Allah sekadar di lidahnya sahaja maka tidak wujudlah perbezaan di antara si benar dengan si pendusta, antara yang beriman dengan munafik, untuk mengetahui yang sabar dan bersungguh-sungguh dengan yang menyimpang dan sombong, tetapi kepahitan dan pancarobalah yang membezakan antara mereka supaya jelas bagi kita keadilan Tuhan. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”

4) Membersih dan menyucikan hati orang mukmin dan seterusnya meningkatkan lagi keimanan dan pegangan mereka terhadap tugas dakwah sehingga mereka tergolong di dalam golongan yang diberikan pertolongan oleh Allah supaya memelihara dan melaksanakan amanahnya dengan sebaik mungkin. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

“Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada kamu”.

5) Terlepas dirinya daripada azab Allah Subhanahu Wa Ta'ala. dengan menanggung seksaan (bala) manusia dan tidak menjadikan seksaan manusia sebagai azab daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

“Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: Kami beriman kepada Allah; kemudian apabila dia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, dia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu dia taatkan manusia) dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?”

5.0 ADAKAH UJIAN ALLAH NATIJAH DARI KESALAHAN MANUSIA?

Setengah golongan menganggap bahawa ujian adalah bukan satu perkara yang tabii (nature) dalam berdakwah atau ia merupakan natijah daripada kesalahan yang dilakukan oleh pimpinan jemaah yang seterusnya mempengaruhi saf-saf jemaah yang lain lalu berlakulah ribut bimbang dan khuatir hingga terancamnya perjalanan dakwah. Namun pendapat yang paling sahih adalah bertentangan dengan kefahaman ini, iaitu ia merupakan perkara tabii yang mesti dilalui di dalam gerakan Islam. Adakah boleh diterima kalau dikatakan bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan orang-orang mukmin yang bersama baginda serta para Anbiya' terdahulu menghadapi lautan penderitaan adalah hasil dari kesalahan mereka?

Hakikatnya, musuh-musuh Allah memerangi pembawa risalah kebenaran ini kerana bimbang kebatilan mereka akan dihapuskan dengan yang haq. Manakala para mujahid pula tetap berpegang teguh dan istiqamah dalam melaksanakan dakwah kepada Allah menyebabkan mereka sanggup menghadapi penderitaan, seksaan dan sebagainya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya dan (kalau engkau melakukan yang demikian) barulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya.”

Hakikatnya bukanlah bermakna tidak berlaku kesalahan atau kesilapan terhadap diri seseorang sedangkan kita hanyalah manusia biasa dan tidak maksum. Maka sesiapa yang berjuang untuk beramal maka mestilah juga menempuh kesalahan dan kesilapan, sebaliknya sesiapa yang tidak beramal maka dia tidak akan menempuh kesalahan. Kesalahan individu yang berlaku pula menjadi natijah ke atas daya usaha dengan akal fikiran manusia yang terbatas, sementara niat yang baik itu diharapkan mendapat ganjaran pahala dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta wajib mengambil istifadah dan pengajaran daripadanya.

6.0 MEHNAH DAN IBTILA’ ADALAH SUNNAH ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA

Sesungguhnya Sunnah Allah di dalam medan dakwah ialah dengan mendatangkan ujian kepada orang yang beriman dan pendakwah ke jalan-Nya sehingga kadang-kadang musibah itu mencapai tahap ketakutan yang teramat sangat. Maka keimanan itu bukan sekadar lahir pada lisan atau pancaindera semata-mata bahkan mestilah melalui ujian dan cubaan dari Allah untuk dibuktikan kebaikan bagi dakwah dan kepada pendakwah di belakang hari. Allah tidak akan memberikan pertolongan kepada hamba-Nya melainkan setelah menghadapi ujian-Nya.

Beberapa ayat Al-Quran dan hadis menegaskan bahawa mehnah dan ibtila’ adalah sunnah Allah di dalam berdakwah di mana ramai orang mukmin menghadapi pelbagai gangguan, fitnah, penyeksaan, penindasan, dihalau dan seumpamanya malah ada yang dibunuh. Yang demikian itu adalah semata-mata untuk menggilap, membersih serta membezakan di antara orang yang benar dan orang yang dusta. Oleh kerana kemenangan merupakan pertaruhan yang sungguh berat maka lebih dulu ia memerlukan persediaan yang cukup iaitu menyediakan pejuang-pejuang yang sanggup melaksanakannya dengan penuh kesungguhan tanpa menyimpang darinya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“Alif Laam Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Sesungguhnya telah kami uji orang-orang yang sebelum mereka supaya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui orang-orang yang dusta (dengan terang dan nyata)”

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”.

Seandainya diteliti sejarah perjuangan para Anbiya' terdahulu, seruan dakwah tidak sunyi daripada tentangan orang-orang yang ingin memusnahkan agama Islam dan membunuh para Anbiya'. Dengan demikian Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah merumuskan bahawa apabila Allah telah menciptakan Adam 'Alaihissalam maka diciptakan juga Iblis, diciptakan Ibrahim 'Alaihissalam maka diciptakan juga Namrud, diciptakan Musa 'Alaihissalam maka diciptakan juga Firaun, dan diciptakan Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam maka diciptakan pula Abu Jahal. Maka di setiap zaman akan wujud Firaun, Namrud dan Abu Jahal dengan berlainan nama dan jenis manusia. Hal ini bertepatan dengan firman Allah Ta’ala:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).”

Maka sekiranya inilah sistem dan sunnah Allah yang wajib ke atas hamba-Nya, hatta ke atas Anbiya'-Nya sekalipun, justeru demikian maka tidak ada rombakan dan perubahan ke atas sistem dan sunnah Allah itu. Demi itu maka Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menempuh segala penyeksaan. Para Anbiya' dan rasul-rasul yang terdahulu diseksa dan diduga, begitu juga para sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam diduga dan diseksa di tangan musyrikin malah di antara mereka ada yang mati dan ada yang cacat. Sebagaimana penyeksaan yang berlaku kepada keluarga Yasir demi mempertahankan keimanan mereka sehingga gugur syahid Yasir dan isterinya Radiallahu 'Anhuma. Namun demikian mereka ini begitu mulia di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Berkata Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada keluarga Yasir:

“ Bersabarlah wahai keluarga Yasir, Syurga telah dijanjikan kepada kamu”.

Dari itu, setiap Muslim yang mengaku dirinya Muslim beriman dengan Allah dan rasul-Nya wajiblah membuktikan keimanannya dengan usaha dan tenaga, serta rela menerima tawaran Tuhan untuk menukar syurga dengan jiwa raga dan harta benda mereka. Firman Allah Ta’ala yang berbunyi:

“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah, lalu membunuh atau terbunuh.”

8.0 PRINSIP MUSLIM DALAM MENGHARUNGI GELORA DAKWAH

Keengganan Manusia Menyahut Seruan Dakwah:

Di antara responsif masyarakat terhadap seruan dakwah ialah keengganan mereka menyahut tuntutan ini, seolah-olah di dalam telinga mereka ada penyumbat yang menghalangi mereka daripada mendengar. Lebih menyedihkan lagi apabila seruan dakwah kita terhadap keluarga yang terdekat juga tidak diterima. Keadaan yang sama juga berlaku kepada Nabi Nuh 'Alaihissalam apabila melihat puteranya yang bernama Kan’an yang durhaka turut mati dalam ombak banjir itu. Seruan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam kepada ayahnya yang musyrik juga tidak berhasil bahkan ayahnya menjadi amat marah lalu menghalaunya dari rumah. Begitu juga bapa saudara Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam Abu Talib yang tetap berdegil dari beriman sehingga ke akhir hayatnya. Dengan demikian para pendakwah kadang-kadang terasa lemah dan hilang keazaman diri di permulaan jalan dakwah serta tidak lagi ingin meneruskan tugas ini bersama para pendakwah yang lain.

Akan tetapi, sesiapa yang menempuh jalan dakwah yang sukar wajib ke atasnya beriltizam pada jalan ini. Dia sekali-kali tidak akan menemui sahutan yang mudah dan hampir bahkan dia mestilah istiqamah dalam menyeru manusia supaya meninggalkan aqidah dan adat yang mengikut hawa nafsu mereka. Selain itu, mereka mestilah sentiasa bersabar di dalam menyampaikan dakwah tanpa mengira dakwah itu diterima ataupun ditentang. Al-Quran telah menceritakan tentang kesabaran Nabi Allah Nuh 'Alaihissalam dalam menyeru kaumnya kepada Allah yang Esa hampir 10 kurun, akan tetapi kaumnya tetap engkar. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).”

Harus diketahui bahawa penerimaan manusia terhadap dakwah merupakan satu fadhilat yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Manakala sekiranya mereka enggan, maka dalam keadaan ini kita boleh memberi peringatan kepadanya pada waktu dan tempat yang lain pula kerana boleh jadi mereka akan memperoleh hidayah pada waktu itu.

Ejekan dan Tohmahan:

Tabiat semulajadi jiwa seseorang itu bersifat marah apabila disentuh dengan sesuatu keburukan. Justeru, kita yang berada di bawah bayangan Islam umumnya dan jalan dakwah khususnya wajib melatih dan membiasakan diri menghadapi segala bentuk keburukan, kejahatan, ejekan ataupun tohmahan manusia yang sekali-kali tidak mengurangkan kekuatan di dalam diri sedikitpun. Contoh yang terbaik bagi kita ialah tindakan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang menghadapi seribu satu tohmahan dan ejekan yang dilontarkan oleh musyrikin dengan menuduh baginda sebagai penipu, ahli sihir dan gila. Namun baginda tetap meneruskan dakwahnya dan mendoakan agar mereka memperoleh hidayah.

“Ya Allah ya Tuhanku, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan Akhirat.”

Berkata Al-Imam Asy-Syahid:

“Apabila bersama dengan manusia jadilah kamu seperti pokok, tatkala mereka melontarnya dengan batu ia membalas mereka dengan buah”.

Seksaan, Penindasan dan Penganiayaan:

Pelbagai bentuk seksaan yang dihadapi oleh pendakwah ke jalan Allah, seperti seksaan pada agama, harta, keluarga, dan kehormatan sama ada seksaan itu dari seseorang individu ataupun musuh-musuh Allah. Mereka tidak menggunakan hujah yang benar sebaliknya mereka menggunakan uslub serangan, balasan, penganiayaan, dan sebagainya untuk menyembunyikan seruan kebenaran dan memadamkan cahaya Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Akan tetapi usaha mereka itu sebenarnya adalah sia-sia sahaja sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”

Apabila seorang pendakwah tidak sanggup untuk menanggung penderitaan ini dan tidak boleh bersabar dengannya lantas hanya redha untuk terus berdiam diri daripada terus berjihad, maka sebenarnya dia telah gagal dalam melalui ujian ini. Haram ke atas dirinya mendapat kemuliaan bersama-sama dengan kafilah mujahidin yang lain dan setelah itu Allah akan menukar pula dirinya dengan kaum yang lain. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

“Dan jika kamu berpaling, Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

Oleh itu, wajib kepada setiap pendakwah ke jalan Allah menetapkan keazaman dan kesabaran bermula dari awal tugas dakwah untuk menanggung segala penderitaan dan mengharapkan pertolongan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Sesungguhnya pertolongan dari Allah itu bersama-sama orang yang sabar dan di samping kesusahan itu ada kemudahan, di samping penderitaan itu ada berita gembira iaitu pertolongan dari-Nya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janji-Nya mempertahankan Rasul-Nya) dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu.”

Musibah Terhadap Diri, Keluarga Dan Harta Benda

Kadang-kadang secara zahirnya kita melihat mehnah dan ibtila’ itu datang melalui perantaraan manusia, sedangkan kita mengetahui bahawa ujian dan cubaan itu semuanya datang daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang berupa tekanan, penganiayaan, tohmahan dan sebagainya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."

Namun begitu, terdapat juga ujian yang berbentuk musibah yang berlaku terhadap diri atau keluarga seseorang pendakwah seperti kekurangan yang berlaku pada diri sendiri dan keluarga, kegagalan dalam perkara kebaikan, kematian orang yang dikasihi, bencana pada harta benda, kedudukan dan sebagainya. Apabila ditimpa dengan pelbagai tekanan terhadap jiwa dengan pelbagai musibah, sesekali jiwa kita tergugat dengan kesempitan akal fikiran lantas berdukacita di atas musibah yang menimpa seterusnya melemahkan semangat dan meruntuhkan keazaman untuk terus berjuang. Maka dalam keadaan yang demikian boleh menghalang tugas dakwah daripada diteruskan malah ada di kalangan mereka yang lemah keimanannya tercicir daripada taklifan yang murni ini.

Hal ini juga ditempuhi oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan kemangkatan Siti Khadijah Isteri Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan Abu Talib bapa saudaranya di tahun yang sama, merupakan saat yang paling pahit bagi Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Ibnu Hisyam menerangkan bahawa Khadijahlah orang yang menghiburkan dan menghilangkan kedukaan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, sedangkan Abu Talib pula adalah pembantu dan penolongnya dari segi moral dan material di kala penentangan kaumnya. Lantaran itu, jalan dan usaha untuk berdakwah semuanya hampir tertutup, penentangan puak Quraisy semakin diperhebat dan tiada siapa pun yang mendengar dan beriman dengannya selepas kematian dua orang yang dikasihinya. Untuk yang demikian maka Allah menurunkan ayat-ayat buat mengingatkan rasul-Nya yang ianya semata-mata untuk menyeru dan menyampaikan suruhan-Nya sahaja, tidak lebih dari itu, dan tidak perlu berdukacita sangat kerana keengganan kaumnya.

Selain itu, memadailah dengan mengambil iktibar daripada kesabaran luar biasa yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ayub 'Alaihissalam apabila beliau diuji dengan pelbagai penderitaan yang berat seperti kemiskinan, kematian anak-anak seorang demi seorang serta beliau sendiri ditimpakan suatu penyakit yang berat. Isteri Nabi Ayub juga akhirnya enggan menurut kata-katanya disebabkan hasutan dari Iblis. Justeru, sedikitpun keimanannya tidak goyang malah mengingati bahawa dirinya dan segala yang dimilikinya adalah kepunyaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala belaka. Mengenangkan keadaan dirinya itu maka Nabi Ayub akhirnya berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, lalu Allah telah menerima doa Nabi Ayub dan melepaskan dirinya dari segala cubaan itu. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik)."

Setiap musibah atau malapetaka yang menimpa diri seseorang hamba itu tidak sunyi daripada maksud dan hikmah yang tersendiri serta gandaan pahala dan rahmat dari Allah Ta'ala. Dari itu, apabila ditimpa dengan dugaan hendaklah sentiasa bersabar, kembali kepada Allah dengan berdoa memohon keampunan, pertolongan dan hidayat daripada-Nya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayat-Nya."


9.0 MENERIMA HAKIKAT SUNNATULLAH DI DALAM PERJUANGAN

Suatu keputusan terbaik yang wajib di lakukan apabila menghadapi gelora pancaroba di dalam jalan dakwah ialah menerima hakikat sunnah-Nya dengan hati yang terbuka bersama adunan keimanan yang sebenar dan redha dengan segala ketentuan-Nya. Dengan itu, pendakwah itu bukan sahaja telah membina keyakinan dan keiltizaman yang teguh di dalam diri untuk terus berjuang menegakkan kebenaran malah telah menjanjikan suatu kejayaan yang gemilang di kemuncak perjuangan sebagai hamba-Nya.

Justeru, sirah perjuangan para rasul dan sahabat-sahabat merupakan satu iktibar yang terbaik untuk dihayati kerana metodologi perjalanan dakwah dan sistem Allah sesekali tidak akan berubah dengan peredaran zaman. Dengan demikian, dapatlah kita implikasikan seruan dakwah di dalam kehidupan tanpa rasa kecewa dan putus asa demi mencapai hadaf dan matlamat dakwah.

Seseorang pendakwah yang telah bersedia untuk mencurahkan baktinya haruslah melihat kelemahan diri sendiri sebagai cabaran pertama. Mereka tidak harus merasa gundah dan kecewa tatkala melihat peribadi diri mereka yang serba kekurangan dalam pelbagai sudut umpama kedudukan, harta benda, ilmu pengetahuan dan sebagainya yang menjadi penghalang kepada tugas dakwah. Sebaliknya mereka hendaklah berusaha dan meneruskan tekad untuk menjana kemampuan syakhsiah sama ada dari sudut dalaman mahupun luaran serta sanggup menempuh kegagalan yang berterusan tanpa mengenal erti putus asa. Memadai dengan menghayati keperibadian Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang mana Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah memilih utusan-Nya itu dari kalangan hamba yang serba kekurangan yang tidak memiliki harta kekayaan, seorang yang yatim piatu dan tiada pula kemahiran membaca dan menulis tetapi disampingnya tersemat seribu satu hikmah yang menjernihkan keimanan umatnya untuk terus berada di dalam lorong dakwah bersama baginda.

Selain itu, tidak seharusnya kegagalan kita menyampaikan seruan dakwah kepada orang yang terdekat seumpama suami atau isteri, ibu bapa atau anak, saudara mara, sahabat karib dan masyarakat umumnya membuktikan bahawa kita telah gagal menyempurnakan keseluruhan tuntutan amar makruf dan nahi munkar lantas cuba untuk menjauhkan diri daripada taklifan ini. Ini adalah kerana Allah hanya akan memberikan petunjuk kepada hamba yang dikehendaki-Nya manakala peranan kita hanyalah untuk menyampaikan apa yang diperintah oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan Islam sahaja. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya."

Berbekalkan keimanan yang telah disuling serta kefahaman yang sebenar terhadap tugas dakwah juga menjadikan seseorang itu sanggup menghadapi apa-apa juga mehnah apabila berhadapan dengan lautan masyarakat. Apabila menghadapi mehnah yang terlalu berat seperti dipenjara, diseksa, dianiaya dan sebagainya mereka tetap kental berada di dalam jalan dakwah. Mereka sentiasa meneruskan dan melaksanakan sebilangan hukum Islam dan apabila mereka keluar dari penjara dan kongkongan musuh mereka meneruskan untuk beramal dan berdakwah mengikut jalan para mujahidin semula. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Dan berapa banyak dari Nabi-Nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar."

Sesungguhnya matlamat yang tertinggi untuk dicapai di dalam dakwah ialah menegakkan sebuah daulah Islamiah yang berteraskan dasar-dasar syariat Islam yang sebenar. Peringkat ini sudah pasti menjanjikan rintangan yang lebih besar dalam konteks yang lebih luas bagi sesebuah negara. Maka, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga telah mengambil masa selama 13 tahun berjuang menghadapi segala pahit maung dan azab sengsara dari kaumnya sehinggalah sebuah Negara Islam yang pertama dapat dibina di Madinah Al-Munawwarah.

Imam Hassan Al-Banna memberitahukan bahawa jalan dakwah dipenuhi dengan duri dan ranjau, bukan ditabur dengan bunga-bungaan. Kita mesti bersabar menanggung penderitaan dan melangkahi segala halangan tanpa berhenti, tanpa lemah dan tanpa menyimpang ke lain.

Dengan demikian, Al-Imam Asy-Syahid telah menggariskan bahawa apabila kita didatangi oleh pelbagai ujian dalam dakwah, hendaklah kita ingat dan pegangi beberapa perkara yang mendorong ke arah kejayaan dakwah iaitu:
1- Kita berdakwah dengan dakwah Allah dan ia adalah satu-satunya dakwah paling agung. Kita menyeru dengan fikrah Islam. Ia adalah fikrah yang paling kukuh. Kita kemukakan kepada manusia Syariat Allah. Ia adalah syariat yang paling adil. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:

"(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat."

2- Sesungguhnya alam seluruhnya berhajat kepada dakwah ini, dan semua yang berada di alam ini bersedia menerimanya dan bersedia memberi jalan kepadanya.

3- Kita terlepas daripada syakhsiah yang bersifat loba dan mengharapkan manfaat peribadi. Tidak ada yang kita maksudkan selain dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan kebaikan manusia umumnya serta tidaklah kita bekerja melainkan untuk mendapat keredhaan-Nya.

4- Sesungguhnya kita mengharap bantuan dan pertolongan Allah. Orang yang ditolong oleh Allah tiada siapa yang boleh mengalahkan kita. Maka, dakwah kita dan keperluan alam sejagat terhadapnya, kemuliaan tujuan dan maksud kita serta pertolongan Allah kepada kita merupakan pendorong-pendorong ke arah kejayaan yang mampu untuk menumpaskan aral yang mendatang serta tidak terhenti daripada tugas dakwah. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Akhir sekali Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah menjelaskan kepada pendakwah kebenaran dan pejuang menegakkan Islam di muka bumi ini supaya tidak merasa lemah dan berdukacita di atas setiap kesusahan yang ditempuhi. Sesungguhnya merekalah orang yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala. dengan dijanjikan kemenangan di dunia dan di akhirat. Firman Allah Ta'ala:

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."

10.0 PENUTUP

Sekarang kita telah mengetahui kesengsaaan setiap Muslim itu dalam usaha menegakkan sebuah masyarakat Islam. Oleh itu ketahuilah bahawa perkara itu bukanlah pancaroba dan sengsara yang menyekat pejuang-pejuang dari mencapai matlamatnya seperti yang difahami oleh setengah-setengah manusia. Tetapi pancaroba dan sengsara tadi adalah galangan-galangan yang telah disediakan oleh Tuhan untuk mereka yang ingin berjihad dan ingin membuktikan keimanannya. Oleh yang demikian maka tidak seharusnya setiap Muslim itu terasa putus asa sekiranya bertemu dengan halangan dan dugaan di dalam perjalanan untuk mencapai matlamat jihadnya tetapi yang sebenarnya itulah kemenangan yang bersalurkan dugaan dan pancaroba.

Sekian.

 



 
Laman ini terbaik dengan paparan Windows Explorer 800 x 600 piksel
hakcipta terpelihara© 2005-2006
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) [ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ]