NASR HAMID ABU ZAID DAN PEMIKIRANNYA:
SIRI 1


Disediakan oleh:
Wazi bin Othman
Pensyarah KIAS

 

PENDAHULUAN

Apabila nama Abu Zaid disebut maka tergambar kepada kita tentang metod hermeunatik terhadap al-Quran yang mengundang pelbagai persepsi masyarakat khususnya para interlektual dalam mengkritik metod beliau. Perbincangan tentang beliau sehingga kini hangat diperdebatkan bagi pro dan kontra terhadap pemikiran yang dibawa oleh beliau. Idea-idea yang dilontarkan oleh beliau banyak digunakan oleh golongan liberal dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran. Bukan sedikit golongan yang terpesona dengan idea yang di bawa oleh beliau di nusantara ini, malah sering dibincangkan dalam pelbagai platform yang mengundang pertembungan interlek yang serius khususnya di Indonesia.

 

SIAPA NASR HAMID ABU ZAID

Beliau dilahirkan pada 1 Julai 1943 di Tanta Mesir. Rahsia kedua orang tuanya memberikan pangkal nama Nasr agar beliau selalu membawa kemenangan ke atas musuh-musuhnya. Bertepatan dengan masa kelahirannya berlakunya perang Dunia kedua.

Suasana ini ditambah dengan krisis kepimpinan yang berlaku di Mesir pada 1952 di mana tampuk pemerintahan bertukar tangan dari Raja Farouk kepada Jamal Abd. Nasir telah mempengaruhi keperibadian Abu Zaid menjadi seorang yang kritis dan bertanggungjawab.(1)

Beliau menghafal al-Quran pada usia lapan tahun dan memasuki alam persekolahan Ibtidaiyyah pada tahun 1951. Beliau dapat menamatkan sekolah rendah beberapa bulan sebelum kewafatan ayahnya. Pendidikan beliau diteruskan lagi sehingga mendapat sijil Diploma Teknik pada tahun 1961. Semangat beliasu terhadap ilmu begitu terserlah di mana beliau melanjutkan pelajaran peringkat tinggi di Fakulti Adab Jurusan Bahasa Arab.

Beliau lulus dengan cemerlang dan diserap sebagai tutor tidak tetap di fakultinya.(2)

Pendidikan tinggi, dari S1 sampai S3, kesemuanya dalam jurusan sastera Arab, di Universita Kaherah. Namun beliau pernah tinggal di Amerika Syarikat selama dua tahun (1978-1980), setelah mendapat biasiswa untuk penelitian Phdnya di Institute of Middle Eastern Studies , University of Pennsylvania , Philadelphia . Selama berada di sini beliau telah menguasai bahasa Inggeris dengan baik. beliau juga pernah menjadi pensyarah tamu di Universitas Osaka , Jepun. Di sana beliau mengajar Bahasa Arab selama empat tahun (Mac 1985-Julai 1989). Kepelbagaian suasana inilah yang memungkinkan beliau sering terdedah kepada pertembungan idea yang membuatkannya sering melontarkan idea-idea baru dalam dunia kesusteraan.

 

PENGLIBATANNYA DALAM GERAKAN IKHWAN HINGGA DITUDUH FAHAM MAXISME

Daerah tempat kelahiran Abu Zaid merupakan cawangan yang paling aktif di Mesir. Abu Zaid terlibat secara langsung dengan Ikhwan. Malah hubungannya dengan Ikhwan semakin erat sejak Gabenor Hasan Hudhaibiy yang dilantik sebagai Mursyidul Am melawat markaz Ikhwan untuk merasmikan Muktamar di Tanta. Muktamar ini dihiasi dengan pertunjukkan olahraga oleh al-Asybal dan sebuah lagu Mars Ikhwan bersama anak-anak kumpulannya yang dipimpin sendiri oleh beliau.(3)

Dalam masa yang sama, usia remajanya banyak terdedah dengan karya-karya sastera Perancis yang banyak diterjemahkan oleh Mustafa Luthfi, sejarah oleh Goerge Zaidan, Yusof al-Siba'iy, Najib Mahfuz, Ibrahim Naji, Ali Mahmud Thaha,Jibran Khalil Jibran, Abu Qasim al-Syaba, al-Barudi, Syauqi, Hafiz, Solah Abd Syabur dan Ahmad Abd. Mu'tiy Hijazi. Karya-karya ini semua tidak dipelajari di sekolah menyebabkan beliau telah mengalami revolusi pemikiran pada usia yang begitu muda.

Pencerahan yang di alaminya mula terserlah ketika beliau belajar di Universiti Kaherah dan terdedah kepada idea-idea sosialisme yang didokong oleh Sayyid Qutb dan Mustafa al-Sibaa'iy melalui karya –karya masing-masing walaupun secara rasminya beliau telah meninggalkan gerakan Ikhwan pada tahun 1964. Sebab itulah kita dapati bahawa beliau telah mengalami pertembungan pemikiran yang unik. Sebagai contohnya karya Khalid Muhammad Khalid secara interlektual telah bertembung dengan karya yang ditulis oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali yang terkenal sebagai representasi pemikir konservatif Mesir ketika itu.(4)

Sebab itulah kita dapati bahawa buku-buku karya beliau sering dikaji secara kritis oleh para interlektual dalam menanggapi tulisan beliau. Ini sesuai dengan posisi kecerdasan daya keinterlektualan kritis dan keberanian serta rasa tanggungjawab terhadap apa yang dilontarkan lewat tulisannya seperti konsep asbab al-Nuzul yang secara terang-terangan mengkritik tradisi yang telah dilakukan oleh ulama' terdahulu walaupun beliau dikecam hebat oleh sebahagian besar ulama' masa kini. Beliau pernah berkata : saya tetap konsisten atas hasil penelitian-penelitian yang saya lakukan hingga saya menemukan pembuktian yang dapat membuktikan bahawa hasil penelitian tersebut keliru.

Pemurtadan terhadap beliau berlaku selepas beliau memohon kenaikan pangkat melalui karya-karyanya. Setelah memerhati karya-karya tersebut salah seorang dari panel penilai iaitu Syeikh Shahin seorang pensyarah di Fakulti Darul Ulum dan imam tetap di Masjid Amr b. al-Asr mengecam karyanya yang dianggap bercanggah dengan Islam. Perdebatan tersebut bukan hanya dalam universiti bahkan telah merebak ke luar kampus. Para penyokong panel penilai membawa kes tersebut ke mahkamah bagi tuntutan cerai ke atas isterinya dengan alasan Abu Zaid telah murtad. Kesinambungan dari kes ini, Mahkamah al-Isti'naf Kaherah menyatakan Abu Zayd telah keluar dari Islam dan perkawinannya terbatal dengan isterinya Dr. Ibtehal Yunus. Ulama al-Azhar yang dianggotai 2000 alim ulama, meminta Pemerintah menandatangani yang menyatakan Abu Zayd mesti disuruh bertaubat atau berdepan dikenakan hukuman mati jika enggan bertaubat. Pada 23 Julai 1995, beliau melarikan diri bersama isterinya ke Madrid Sepanyol, kemudian menetap di Leiden Belanda dan menjadi pensyarah di sana.(5)

Bersambung Siri Yang Kedua..


Rujukan:

(1) Abu Zaid Nasr Hamid, Menalar Firman Tuhan, Wacana Majaz dalam al-Quran Menirut Mu'tazilah , cetakan pertama 2003, penerbit Mizan, Bandung Jakarta, m/s 10
(2) Ibid m/s 10-1.
(3) Loc.cit m/s 11.
(4) Ibid m/s 12-13.
(5) Ibid m/s 13

 

Maklumat Penulis:

Wazi bin Othman
B.A. Hons (Usuluddin), Uni. al-Bait, Jordan.

 

 

[ 12 May, 2009 8:38 PM ]



 
Laman ini terbaik dengan paparan Windows Explorer 800 x 600 piksel
hakcipta terpelihara© 2005-2008
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) [ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ]