Program Belia Pintar : Menggilap Potensi Dan Kualiti Diri
Wed | 20 - 12 - 2006 | 8:22 PM

19-20 Disember 2006 – Satu program khusus untuk meningkatkan kecemerlangan akademik mahasiswa telah diadakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) KIAS di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling. Program tersebut yang dinamakan Program Belia Pintar : Menggilap Potensi Diri telah diadakan Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan selama dua hari bermula 19 hingga 20 Disember 2006. Seramai 57 orang pelajar terpilih telah mengikuti program yang julung-julung kali diadakan ini.
Kursus Peningkatan Profesionalisme Pensyarah Kali ke III
Thur | 11 - 12 - 2006 | 8:22 AM

9 - 10 Disember 2006 - KIAS melalui Bahagian Akademik telah menganjurkan Kursus Peningkatan Profesionalisme Pensyarah Kali ke III yang melibatkan semua pensyarah bahasa arab dan pensyarah-pensyarah yang mengajar subjek diniyah dalam bahasa arab. Kursus selama 2 hari ini dikendalikan oleh Al-Farabi Consultant bertempat di Dewan Kuliah DAIJ KIAS. Menurut Timbalan Ketua Eksekutif KIAS (Akademik), Dr. Zakaria @ Mahmod bin Daud, kursus ini bertujuan untuk memberikan input kepada para pensyarah untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran di dalam bahasa Arab dengan lebih berkesan. Pelbagai pengisian telah diatur dengan pembentangan kertas kerja oleh pensyarah dan juga majlis diskusi.
Majlis Pelancaran Usrah Kakitangan KIAS 2006
Thur | 11 - 12 - 2006 | 8:22 AM
7 Disember 2006 – Unit Pembangunan Insan (UPI) KIAS sekali lagi melangkah ke hadapan dengan melancarkan program usrah untuk kakitangan KIAS dengan kekerapan sekali sebulan yang disempurnakan pelancarannya oleh Dr. Johari bin Mat, Ketua Eksekutif KIAS. Program ini yang akan diadakan pada setiap pagi Khamis minggu pertama setiap bulan dijadualkan selama satu jam bermula 8.00–9.00 pagi. Menurut Dr. Hilaluddin bin Abdullah, Pengerusi UPI KIAS, program ini bertujuan untuk memantapkan kefahaman mengenai Islam di kalangan kakitangan akademik dan bukan akademik KIAS. Selain dari itu, ia diharapkan menjadi jambatan untuk menjalinkan hubungan yang erat dan saling memahami di antara kakitangan.
Majlis Aidilfitri (MAAF) 2006
Thur | 19 - 11 - 2006 | 8:09 AM

13 November 2006 – Persatuan Mahasiswa KIAS (PMKIAS) Sesi 2005/2006 hari ini telah menganjurkan Majlis Aidilfitri (MAAF) 2006 yang bertempat di Dewan Utama KIAS. Majlis yang dihadiri oleh kakitangan-kakitangan akademik dan bukan akademik KIAS serta para pelajar itu diserikan dengan persembahan pantun, nasyid dan pentomen. Progaram ini dirasmikan oleh Dr. Johari bin Mat, Ketua Eksekutif KIAS. Beliau di dalam ucapannya memberikan penegasan agar seluruh warga KIAS melipatgandakan usaha untuk memburu keredhaanan Allah SWT sekalipun Ramadhan sudahpun berlalu.
Penyampaian Sijil Pengajian Ilmu Qiraat & Tarannum
Sun | 17 - 12 - 2006 | 10:43 AM
10 November 2006 - Pusat Pengajian Ilmu-Imu Islam telah mengadakan majlis penyampaian sijil kepada para pelajar yang telah menamatkan kursus mereka di dalam pengajian Ilmu Qiraat dan Tarannum. Seramai 55 orang kesemuanya iaitu 15 orang yang telah mengikuti pengajian sesi Dis. '03 – Jun '05 dan 40 orang pada sesi Dis. '04 – Mei '06. Daripada jumlah tersebut, 7 orang menerima sijil penyertaan dan 48 orang menerima sijil penuh ilmu Qiraat & Tarannum. Sijil telah disampaikan oleh Dr Johari bin Mat, Ketua Eksekutif KIAS.
Seminar Profesionalisme Mentor
Thur | 09 - 11 - 2006 | 4:20 PM

6 November 2006 – Unit Pembangunan Insan (UPI) KIAS telah mengadakan Seminar Profesionalisme Mentor yang bertempat di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana hari ini. Menurut Setiausaha UPI, Ustaz Safwan bin Ismail, seminar ini diadakan bagi memberikan pendedahan kepada para pensyarah KIAS khususnya mengenai kaedah-kaedah menjadi mentor yang berkesan untuk para pelajar. Seminar ini yang diadakan khusus untuk pensyarah-pensyarah KIAS diisi dengan pembentangan-pembentangan kertas kerja oleh Dr. Zakaria @ Mahmood bin Daud (Timbalan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Akademik KIAS), Puan Shahnun binti Haji Musa (Kaunselor KIAS) dan Puan Norma binti Senik (Institut Latihan Perguruan Kota Bharu). Seminar ini dirasmikan penutupannya oleh Ketua Eksekutif KIAS, Dr. Johari bin Mat.
Kemasukan Pelajar-pelajar Baru Sesi November 2006
Thur | 09 - 11 - 2006 | 4:20 PM
1 November 2006 – Seramai 27 orang telah mendaftar sebagai pelajar baru KIAS pada pendaftaran kemasukan sesi November 2006 yang dibuka hari ini. Pelajar-pelajar ini mengikuti kursus pengajian di KIAS di dalam pelbagai bidang. Bagi menyesuaikan diri mereka dengan suasana pengajian di KIAS, satu program taklimat dan program orientasi diadakan selama dua hari oleh pihak pentadbiran KIAS. Manakala taklimat dan sesi dialog bersama ibubapa disampaikan dan dikendalikan sendiri oleh Ketua Eksekutif KIAS, Dr. Johari bin Mat.
Lawatan dari Persatuan Imam China
Mon | 25 - 09 - 2006 | 2:03 PM
21 September 2006 – KIAS hari ini telah menerima lawatan dari Persatuan Imam Negeri China yang terdiri dari 30 orang anggota rombongan. Menurut wakil rombongan yang menyampaikan ucapan, lawatan ini bertujuan bagi meninjau peluang pengajian umat Islam di negeri China di insituti-insituti pengajian agama di Malaysia. Rombongan telah disambut pegawai-pegawai kanan kolej diketuai oleh Dr. Zakaria @ Mahmood bin Daud, Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Akademik) KIAS. Rombongan juga sempat bertukar-tukar cenderamata dan melakukan lawatan ringkas ke sekitar kampus KIAS.
Lawatan dari SMK (A) Mohd Ali, Ranau Sabah
Wed | 20 - 09 - 2006 | 4:44 PM
20 September 2006 – KIAS hari ini telah menerima lawatan dari sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Mohd Ali, Ranau, Sabah. Lawatan yang disertai oleh 20 orang pelajar itu diketuai oleh guru pengiring, Ustaz Azrin bin Johari. Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau peluang pengajian agama untuk pelajar-pelajar SMK (A) Mohd Ali khususnya di Kelantan. Taklimat telah disampaikan oleh salah seorang pensyarah KIAS, Ustaz Azhar bin Abdullah.
CERAMAH ISLAM DAN SAINS
Mon | 18 - 09 - 2006 | 12:27 PM

18 September 2006 – Perpustakaan KIAS telah menganjurkan satu slot ceramah bertajuk Islam dan Sains yang bertempat di Dewan Utama KIAS hari ini. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Dr. Zakuan Zaini bin Ideris dari Universiti Sains Malaysia (USM). Menurut Penolong Pustakawan, Cik Akmasuziati binti Mat Jusoh, slot ceramah ini termasuk di dalam perkhidmatan pihak perpustakaan yang bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada siswa-siswi KIAS khususnya mengenai kaitan Islam dan sains. Majlis ceramah tersebut turut dihadiri oleh para pensyarah dan kakitangan KIAS.
Budaya Membaca Perlu Diasaskan Kepada Wahyu
Thur | 14 - 09 - 2006 | 4:32 PM
14 September 2006 – Masyarakat khususnya golongan pelajar digesa untuk memupuk budaya membaca yang berasakan wahyu, ujar Timbalan Ketua Eksekutif KIAS (Hal Ehwal Pelajar), Dr. Ahmad Najib bin Abdullah al-Qari. Menurut beliau lagi, golongan muda pada hari ini lebih gemar untuk bergaya dengan telefon bimbit daripada membaca buku ke mana-mana. Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Bulan Membaca 2006 yang diadakan di Dewan Utama KIAS hari ini. Program yang diadakan bermula 21 Ogos 2006 itu telah dipenuhi dengan pelbagai program menarik untuk memupuk warga KIAS khsususnya siswa-siswi dengan budaya membaca. Turut hadir di dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Akademik), Dr. Zakaria @ Mahmood bin Haji Daud.
"Peminat al-Quran Ialah Kekasih Allah" – Ustaz Abdullah al-Qari bin Haji Salleh
Sun | 11 - 09 - 2006 | 3:01 PM

11 September 2006 – “Peminat al-Quran ialah kekasih Allah, mereka menyedari bahawa Allah ialah Tuhan bagi alam semesta, Penciptanya dan Pemiliknya.” Demikian sebahagian kata-kata Ustaz Abdullah al-Qari bin Haji Salleh, seorang ulama dan pengarang buku terkenal tanah air di dalam ucapannya di Dewan Utama KIAS hari ini. Beliau yang dijemput untuk menyampaikan ucapan bertajuk Konsep Iqra’ Dalam Menjana Ketamadunan Ummah sempena Bulan Membaca KIAS 2006 turut menekankan persoalan ilmu sebagai kunci utama penerimaan ibadah yang dilakukan. Dewan Utama KIAS dipenuhi dengan siswa-siswi yang menunjukkan minat terhadap kupasan Ustaz Abdullah al-Qari. Turut bersama-sama di dalam majlis tersebut ialah Dr. Zakaria @ Mahmood bin Haji Daud, Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Akademik) dan Dr. Ahmad Najib bin Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Pelajar) yang juga merupakan anakanda Ustaz Abdullah al-Qari.
Debat Bahasa Arab Antara IPT 2006
Wed | 13 - 09 - 2006 | 5:26 PM

7 – 10 September 2006 – KIAS telah menghantar satu pasukan untuk menyertai Pertandingan Debat Bahasa Arab Antara IPT 2006 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia yang bertempat di kampus UIAM. Pasukan KIAS yang diwakili oleh Mujiburrahman bin Mohd Salleh, Fauzi bin Jaafar, Khairuddin bin Abdul Rahman dan Syaqim Zulhabri bin Safie telah berjaya mara ke peringkat suku akhir. Menurut pengiring pasukan, Ustaz Abdullah Abu Bakar bin Haji Ismail, pengalaman pada kali ini akan dijadikan sebagai momentum untuk membentuk pasukan debat KIAS yang diharapkan mampu untuk membawa kejayaan yang lebih hebat pada tahun-tahun akan datang. Selain beliau, turut mengiringi pasukan KIAS ialah Ustaz Hisyamuddin bin Mohd Yusof.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Akademik dan Penyeleidikan Dengan KUIS
Thur | 07 - 09 - 2006 | 2:54 PM

6 September 2006 – KIAS yang diwakili oleh Ketua Eksekutif, Dr. Johari bin Mat telah menandatangani Memorandum Persefahaman Akademik dan Penyelidikan antara KUIS dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini. Majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut diadakan di Dewan Audotorium KUIS dengan turut melibatkan beberapa IPTS yang lain. Memorandum persefahaman yang ditandatangani hari ini antara lainnya akan membolehkan pelajar-pelajar lepasan program diploma KIAS dan Ijazah Sarjana Muda berkembar (3+1) dengan Universiti al-Azhar melanjutkan pengajian di KUIS di dalam bidang-bidang yang tertentu. Selain daripada Dr. Johari bin Mat, KIAS turut diwakili oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Akademik), Dr. Zakaria @ Mahmod bin Daud dan Pendaftar, Dr. Yaacob bin Yusof.
Rombongan Pelajar KIAS Berangkat ke Mesir
Sun | 06 - 09 - 2006 | 1:04 PM
6 September 2006 – Seramai 59 orang pelajar lepasan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah berlepas ke ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang masing-masing hari ini. Sebahagian besar dari pelajar-pelajar ini berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa ke KLIA pada pukul 11.45 pagi. Lapangan terbang penuh sesak dengan saudara-mara serta rakan-rakan yang tidak melepaskan peluang mengiringi pemergian pelajar-pelajar ke Mesir. Turut serta di lapangan terbang ialah beberapa orang pensyarah serta kakitangan KIAS. KIAS turut menghantar Ustaz Ilyas Ahmad, pegawai pembangunan HEP untuk bersama-sama ke Mesir bagi melancarkan urusan penghantaran pelajar ke sana.
Seminar Islam Dari Sudut Undang-undang dan Perlembagaan Malaysia : Isu Murtad
Sun | 03 - 09 - 2006 | 1:21 PM

2 September 2006 – Menyedari hakikat ancaman terhadap kedudukan Islam di Malaysia semakin berleluasa semenjak akhir-akhir ini, KIAS bersama-sama dengan Gabungan Profesional Kelantan (GPK) telah bekerjasama untuk menjayakan program Seminar Islam Dari Sudut Undang-undang dan Perlembagaan Malaysia : Isu Murtad yang bertempat di Dewan Bunga Tanjung, Hotel Perdana hari ini. Seminar tertutup tersebut yang dihadiri oleh lebih kurang 500 orang peserta terdiri dari pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, wakil-wakil badan berkanun dan swasta serta para pelajar telah dirasmikan oleh YB Ustaz Ahmad bin Yaakub, Timbalan Menteri Besar Kelantan. Di antara pembentang kertas kerja ialah Prof Dr . Abdul Aziz bin Bari dari Kulliyah Undang-undang, UIAM dan Tuan Haji Mohamed Naser bin Disa, Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguan Negara.
Perbarisan Hari Kebangsaan Malaysia
Sun | 03 - 09 - 2006 | 1:21 PM

31 Ogos 2006 – KIAS telah mewakili pihak Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) untuk menyertai perbarisan hari kebangsaan peringkat negeri Kelantan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV. Kontinjen KIAS yang diketuai oleh Encik Rosli Junoh terdiri dari 36 orang kakitangan dan pelajar-pelajar KIAS. Perbarisan juga turut disertai oleh kontinjen-kontinjen daripada badan-badan beruniform, badan-badan berkanun dan swasta. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar, ahli-ahli exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan.
Minggu Bahasa Arab (MBA) 2006
Tue | 28 - 08 - 2006 | 3:44 PM

28 Ogos 2006 – Kelab Bahasa Arab di bawah Jabatan Bahasa Arab KIAS telah menganjurkan Minggu Bahasa Arab bermula 28 Ogos – 4 September 2006. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif KIAS, Dr. Johari bin Mat dalam satu majlis yang dihadiri oleh pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah KIAS. Selepas ucapan perasmian, beliau memukul gong sebagai tanda perasmian Minggu Bahasa Arab. Menurut Ketua Jabatan Arab, Ustaz Azmin bin Daud, program ini diadakan bagi menggalakkan para pelajar supaya dapat membiasakan diri dengan berbahasa Arab melalui empat kemahiran iaitu mendengar, membaca, menulis dan berkomunikasi. Pelbagai agenda telah disusun sepanjang program ini termasuklah tayangan video, kuiz bahasa arab, pidato serta pertandingan bercerita, pameran dan sebagainya.
Lawatan dari Markaz Pengajian Islam (MARPA) Yayasan Islam Terengganu
Tue | 22 - 08 - 2006 | 3:30 PM

22 Ogos 2006 – KIAS hari ini telah menerima lawatan dari Markaz Pengajian Islam (MARPA) Yayasan Islam Terengganu yang diketuai oleh YB Haji Mohd Kamal bin Abdullah, Pengerusi MARPA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sura. Rombongan tersebut seramai 17 orang terdiri dari pegawai-pegawai agama dari pelbagai jabatan kerajaan negeri Terengganu dengan disambut oleh Dr. Zakaria @ Mahmod Hj Daud, Timbalan Ketua Eksekutif KIAS. Lawatan yang bertujuan untuk meninjau program pengajian yang ditawarkan oleh KIAS khususnya program Diploma Dakwah Wal Qiadah ini diisi dengan majlis taklimat dan dialog di antara kedua-dua belah pihak.
Pelancaran Bulan Membaca KIAS 2006
Mon | 21 - 08 - 2006 | 2:36 PM

21 Ogos 2006 – Majlis pelancaran Bulan Membaca KIAS telah diadakan di dataran bangunan perpustakaan bermula pukul 11.00 pagi. Program Bulan Membaca KIAS 2006 yang berlangsung bermula 16 Ogos sehingga 15 September 2006 ini telah disempurnakan pelancarannya oleh Dr. Zakaria @ Mahmood bin Haji Daud, Timbalan Ketua Eksekutif KIAS (Hal Ehwal Akademik). Program ini yang diadakan di bawah kelolaan perpustakaan KIAS dipengerusikan oleh Dr. Yaacob bin Yusof, Pendaftar KIAS dan Cik Akmasuziati binti Mat Jusoh sebagai setiausaha. Di antara agenda-agenda menarik sepanjang Bulan Membaca KIAS 2006 ini ialah Forum Bicara Siswa, taklimat pengguna perpustakaan, gotong-royong, pelbagai pertandingan dan juga ceramah.
Keberangkatan Graduan-graduan KIAS ke Jambi, Indonesia.
Wed | 16 - 08 - 2006 | 12:54 PM
15 Ogos 2006 – Seramai 39 orang graduan-graduan KIAS telah berangkat ke Jambi, Indonesia untuk menyambung pengajian di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sultan Thaha Saifuddin, Jambi, Indonesia. Penghantaran pelajar-pelajar KIAS ke Jambi buat kali pertama ini diiringi oleh Dr. Johari bin Mat, Ketua Eksekutif KIAS dan Ustaz Abdul Kadir bin Mohamad, Ketua Jabatan Syariah KIAS. Mereka bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 6.45 pagi. Ruang legar lapangan terbang dipenuhi dengan sanak saudara pelajar-pelajar yang terlibat sebelum waktu subuh.
Program Motivasi Kecemerlangan Mahasiswa
Sun | 14 - 08 - 2006 | 11:30 AM

14 Ogos 2006 – Unit Pembangunan Insan (UPI) KIAS telah mengadakan Program Motivasi Kecemerlangan Mahasiswa khusus untuk graduan-graduan KIAS yang akan melanjutkan pengajian ke IAIN Jambi bertempat di Glora Beach Resort, Pantai Perupok, Bachok Kelantan. Program tersebut dihadiri oleh seramai 26 orang graduan dan dirasmikan oleh YB Haji Abdul Patah bin Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan dan disempurnakan penutupannya oleh Ketua Eksekutif KIAS, Dr. Johari bin Mat. Menurut pengarah program yang juga Setiausaha UPI, Ustaz Safwan bin Ismail, program tersebut khusus untuk menanam keyakinan kepada graduan-graduan KIAS untuk berdepan dengan cabaran pembelajaran dan kehidupan apabila tiba di Indonesia kelak. (Lihat Photopages.com)
Malam Keraian Graduan KIAS 2006
Sun | 14 - 08 - 2006 | 1:34 PM

10 Ogos 2006 – Sempena meraikan graduan-graduan KIAS yang telah menerima sijil pengajian dan anugerah di dalam Konvokesyen KIAS kali ke VIII, satu majlis makan malam yang dinamakan Malam Keraian Graduan KIAS 2006 diadakan bertempat di Dewan Bunga Tanjong, Hotel Perdana. Para hadirin disajikan dengan hidangan yang menyelerakan dan turut dipersembahkan dengan alunan nasyid daripada kumpulan Kasturi KIAS serta sajak dalam empat bahasa. Ketua Eksekutif KIAS di dalam ucapannya memberi saranan kepada para graduan supaya tidak mengakhiri proses pencarian ilmu pengetahuan hanya di peringkat Diploma, B.A, M.A mahupun Ph.D semata-mata, malah ia mesti diteruskan sehingga ke akhir hayat. Majlis turut menjemput YB Nik Amar bin Abdullah selaku wakil Menteri Besar Kelantan untuk menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Majlis Konvokesyen KIAS Kali ke-8
Sun | 14 - 08 - 2006 | 11:16 AM
10 Ogos 2006 – KIAS telah berjaya mengadakan Majlis Konvokesyennya yang ke-8 pada hari ini yang bertempat di Dewan Johor, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Nilam Puri. Majlis Konvoksyen yang penganugerahannya disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan itu telah menyaksikan seramai 123 orang graduan KIAS telah menerima Diploma dan sijil masing-masing. Daripada jumlah tersebut seramai 58 orang graduan menerima diploma iaitu dari Jabatan al-Syariah seramai 30 orang, Jabatan Usuluddin (19 orang) dan Jabatan Dakwah wal Qiadah (16 orang). Manakala untuk program Ijazah Sarjana Muda berkembar (3+1) dengan Universiti al- Azhar Mesir, seramai 20 orang telah menerima sijil dari Program Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan 38 orang dari Program Ijazah Sarjana Muda al-Syariah. Turut hadir di dalam Majlis Konvokseyen tersebut ialah YB Mohd Amar bin Abdullah, Pengerusi Majlis KIAS dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri. YAB Tuan Guru juga turut menyampaikan anugerah Tokoh Kehormat KIAS 2006 iaitu Dato’ Haji Abdul Razak bin Salleh, bekas Pengerusi Akademi YAKIN Sdn. Bhd (AYSB). Manakala anugerah Menteri Besar (graduan terbaik) diterima oleh Saudara Najid bin Abdullah, graduan Program Ijazah Sarjana Muda ak-Syariah Berkembar (3+1) dengan Universiti al-Azhar. (Lihat Photopages.com)
Hari Terbuka KIAS 2006 (HI-TEK 06)
Sat | 12 - 08 - 2006 | 5:08 PM

9 Ogos 2006 – Hari Terbuka KIAS 2006 (Hi-Tek 06) yang merupakan antara program tahunan PMKIAS dengan kerjasama pihak pentadbiran KIAS telah dianjurkan bersempena pesta konvokesyen KIAS kali ke-VIII. Program ini telah dirasmikan oleh YB Ustaz Abdul Halim bin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri Chetok, bermula jam 2.30 petang. Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Kasturi KIAS. Pelbagai program dan aktiviti diadakan sepanjang Hi-Tek 06 yang bermula pada 9 Ogos sehingga 12 Ogos 2006 seperti Karnival Jualan & Pameran, Pertandingan Nasyid IPT Kelantan, Pertandingan Bercerita, Diskusi Srikandi, Seminar, Forum Perdana, Sukan Rakyat, Pertandingan Bola Sepak IPT Kelantan, Persembahan Kebudayaan Etnik, Malam Gema Belia Kelantan dan banyak lagi. Hi-Tek 06 adalah antara agenda KIAS yang persis untuk mendekati masyarakat sekitar disamping mewujudkan generasi mahasiswa yang mahir dalam aspek pengurusan organisasi serta bersedia untuk terjun ke dalam gelanggang realiti kehidupan masyarakat. Bertemakan "Keunggulan Mahasiswa Mencetus Kesedaran Ummah" , Pengerusi Majlis Eksekutif Induk Hi-Tek 06, Al-Akh Mohd Zahid bin Abu Bakar amat berharap agar program ini menjadi bukti yang jelas bahawa mahasiswa bukanlah golongan yang hanya hebat dari segi teori semata-mata tetapi mampu menterjemahkannya dalam bentuk realiti yang sebenar.
Jamuan Laksa Bagi Kutipan Derma Bekas-bekas Mahasiswa KIAS
Thu | 03 - 08 - 2006 | 3:50 PM

3 Ogos 2006 – Bekas-bekas mahasiswa Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir dan Indonesia pada tahun ini telah mengadakan jamuan laksa bagi tujuan kutipan derma untuk membiayai perbelanjaan pengajian mereka. Jamuan laksa yang diadakan bermula jam 11.00 pagi sehingga 5.00 petang adalah merupakan salah satu inisiatif mereka dengan kerjasama pihak KIAS sebagai satu usaha mengumpul dana bagi tujuan membantu mahasiswa-mahasiswi yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian. Pada tahun ini, dijangka seramai 71 orang bekas mahasiswa KIAS akan menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dan 38 orang ke IAIN Jambi, Indonesia.
Seminar Pemapanan Metodologi Penulisan Ilmiah
Mon | 19 - 07 - 2006 | 11:49 PM
17 – 19 Julai 2006 – Jabatan Al-Dakwah Wal Qiadah telah menganjurkan Seminar Pemampanan Metodologi Penulisan Ilmiah bagi mempertingkatkan penguasaan mahasiswa jabatan dalam bidang penulisan. Seminar yang bertempat di Dewan Utama KIAS ini terbuka kepada pelajar-pelajar Jabatan Al-Dakwah Wal Qiadah dan telah disertai oleh hampir kesemua mahasiswa-mahasiswi jabatan. Di antara pembentang-pembentang kertas kerja ialah Dr. Yaacob bin Yusoff, Pendaftar KIAS yang membentangkan kertas kerja bertajuk Konsep Metodologi Penulisan Ilmiah , Ustaz Azhar bin Abdullah ( Metodologi Penulisan Dalam Bahasa Melayu : Satu Pengaplikasian ) dan Ustaz Hisyamuddin bin Mohd Yusof ( Metodologi Penulisan Dalam Bahasa Arab : Satu Pengaplikasian ).
Taklimat Khas Pengajian di IAIN, Jambi, Indonesia
Mon | 10 - 07 - 2006 | 11:58 AM

10 Julai 2006 – Satu taklimat khas telah diadakan kepada pelajar-pelajar yang ingin menyambung pengajian di IAIN, Jambi, Indonesia. Taklimat yang bertempat di Dewan Utama KIAS tersebut disampaikan oleh Pendaftar KIAS, Dr. Yaakob bin Yusof. Turut hadir di dalam majlis taklimat ialah Ketua Eksekutif, Dr. Johari bin Mat dan timbalan-timbalannya, Dr. Zakaria @ Mahmood bin Daud dan Dr. Ahmad Najib bin Abdullah serta ibubapa pelajar yang terlibat. Dianggarkan lebih kurang 36 orang pelajar KIAS akan menyambung pengajian ke IAIN, Jambi, Indonesia pada tahun ini.
PESTA SUKAN ANTARA INSTITUTI PENGAJIAN TINGGI ISLAM MALAYSIA (IPTIM) 2006 KE-14
Wed | 12 - 07 - 2006 | 8:24 AM
5-9 Julai 2006 – KIAS telah menghantar satu kontinjen untuk menyertai Pesta Sukan Antara Instituti Pengajian Tinggi Islam Malaysia ( IPTIM ) 2006 Ke-14 yang bertempat di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah Darul Aman. Kontinjen yang terdiri daripada pelajar-pelajar KIAS tersebut diiringi oleh pensyarah dan beberapa orang kakitangan pentadbiran. Di dalam pesta IPTIM kali ini, pasukan bola sepak dan sepak takraw KIAS telah berjaya mara ke peringkat separuh akhir.
Program Ziarah Hijrah 2006
Sun | 09 - 07 - 2006 | 12:20 PM

2-5 Julai 2006 – Seramai 7 orang pelajar (2 lelaki dan 5 perempuan) Jabatan Dakwah wal Qiadah KIAS telah menyertai program Ziarah Hijrah 2006 yang bertempat di Kampung Ladoi, Pos Hau, Gua Musang. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK) itu disertai oleh lebih kurang 30 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai di instituti-instituti agama negeri Kelantan dan dirasmikan oleh Dato’ Ismail Latiff, Pengarah JHEAIK. Kampung Ladoi, Pos Hau adalah satu perkampungan orang asli yang mengandungi penduduk sekitar 50 orang dan terletak lebih kurang 125 km dari bandar Gua Musang, Kelantan.
Perginya Sebutir Permata...
Sun | 09 - 07 - 2006 | 12:15 PM

9 Julai 2006 – Kampus KIAS dikejutkan dengan berita pemergian bekas Ketua Eksekutif KIAS, Tuan Haji Nawawi bin Mahmood pada pukul 6.00 pagi ini. Beliau meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor setelah terlantar beberapa lama akibat penyakit barah pankreas (barah limpa). Allahyarham yang pernah menjadi Ketua Eksekutif KIAS bermula tahun 1999-2003 dikenali sebagai seorang ketua yang berhemah tinggi dan mengambil berat terhadap orang bawahannya. Allahyarham yang dilahirkan pada 9 Disember 1934 mendapat pendidikan awal di Madrasah Al-Muhammadiah Al-Arabiah, Kota Bharu sebelum melanjutkan pengajian ke Maktab Perguruan Singapura dan seterusnya ke Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau pernah berkhidmat di dalam pelbagai jabatan kerajaan dan instituti pendidikan, antaranya sebagai Pendaftar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1983-1987) dan Ketua Pengarah Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri. Warga KIAS mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT…
Rombongan Ke Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sultan Thaha Saifuddin, Jambi.
Sun | 09 - 07 - 2006 | 12:05 PM

25 - 28 Jun 2006 – KIAS telah menghantar satu rombongan untuk melakukan lawatan kerja ke Institut Agama Islam Negeri (IAIN) al-Jamiah Sultan Thaha Saifuddin, Jambi, Indonesia. Lawatan ini bertujuan untuk melakukan tinjauan ke institut berkenaan sebagai salah satu instituti yang mempunyai perjanjian persefahaman akademik dengan KIAS. Rombongan KIAS disertai oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Akademik), Dr. Zakaria @ Mahmood bin Haji Daud, Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Pelajar), Dr. Ahmad Najib bin Abdullah al-Qari dan Pendaftar, Dr. Yaacob bin Yusuf. Selain mengadakan pertemuan dengan pihak pentadbiran IAIN al-Jamiah Sultan Thaha Saifuddin, rombongan juga berkesempatan untuk mengadakan pertemuan dan beramah mesra dengan pihak persatuan pelajar Malaysia di sana.
Minggu Ukhuwwah Islamiah
Wed | 05 - 07 - 2006 |1:00 PM

12 - 15 Jun 2006 - Program Minggu Ukhuwwah Islamiah (MUI) 2006 yang menjadi rutin tahunan kepada warga KIAS dalam menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru telah berjaya dilaksanakan pada 12 – 15 Jun 2006. Program ini yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar KIAS dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa KIAS (PMKIAS) telah dirasmikan oleh YB Abdul Patah Mahmood, Exco Kerajaan Negeri Kelantan ini. Untuk kemasukan sesi pengajian 2006/2007, sejumlah 194 orang pelajar baru (80 lelaki dan 114 perempuan) telah mendaftar untuk mengikuti program-program pengajian di KIAS.
Pertandingan Debat Antara IPT
Thu |15-06-2006 |10:47 PM

13 – 15 Mei 2006 – KIAS telah menghantar satu pasukan debat untuk menyertai Pertandingan Debat Antara IPT (Zon Pantai Timur) Piala Sultan Zainal Abidin yang bertempat di kampus UiTM, Dungun, Terengganu. Pasukan yang diketuai Saudara Ilham Che Daud tersebut disertai oleh seramai 4 orang peserta dengan diiringi Ustaz Wazi bin Othman, pensyarah Jabatan Usuluddin. Di dalam pertandingan tersebut, pasukan KIAS hanya berjaya beraksi pada pusingan pertama.
Mukhayyam Arabi 2006
Thu |15-06-2006 |10:47 PM