PEMBAHAGIAN HUKUM DALAM FIQH ISLAMIY
Disediakan oleh:
Hisyamuddin bin Mohd Yusof
Pensyarah Pusat Khidmat Akademik KIAS

Pendahuluan.

Perbincangan tentang pembahagian hukum dalam islam merupakan perbincangan yang melibatkan perkara dasar, dimana fakta tentang sejarah dan tarikh serta nama berbagai-bagai tokoh akan terlibat secara langsung, ini amat memerlukan pemerhatian yang serius supaya rentetan sejarah tersebut dapat difahami dengan senang oleh pembaca sekalian. Untuk memudahkan pembaca, disini pengkaji akan membahagikan kajian ini kepada empat bab mengikut topik perbincangan secara turutan, sebagaimana dalam arahan.

Pengertian hukum syara’.

Hukum dari segi bahasa ialah kata putus atau keputusan, syara’ pula bermaksud jalan, cara atau aliran. Manakala dari segi istilah ialah ( خطاب الله تعالى المتعلق بأفعال المكلفين من حيث الطلب أو التخيير   )  maksudnya : titah atau khitab Allah taala yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang mencakupi suruhan atau pilihan(1). Hukum syara’ ini merangkumi bahagian ibadat, perkahwinan, muamalat, jenayah dan alam sekitar. Cara untuk mengetahui  hukum mengikut ulama’ ialah melalui nas-nas syara’ selepas melalui proses yang dinamakan istinbat hukum.

Dalam perbincangan umum, hukum syara’ boleh dikategorikan kepada dua, iaitu hukum taklifi dan hukum wad’ie . hukum taklifi bermaksud hukum yang berkaitan dengan arahan dan tegahan, sama ada melakukan atau meninggalkan sesuatu tuntutan dan yang berkaitan dengan pilihan melakukan atau meninggalkan sesuatu tuntutan. Hokum wad’ie pula bermaksud sesuatu yang boleh menjadi sebab, syarat atau penghalang dalam melakukan atau meninggalkan sesuatu tuntutan tersebut.

Dalam kajian ini, pengkaji akan memberi fokus perbincangan terhadap hukum taklifi sebagaimana diarahkan.

Bab 1
Pengenalan kedua-dua mazhab serta ulama perintis aliran.

Antara sebab utama munculnya pelbagai aliran atau mazhab dalam mencari hukum melalui nas-nas syara’ ialah keadaan sumber hukum itu sendiri iaitu al-qur’an, as-sunnah, ijma’ dan qias,. Ayat-ayat suci al-qur’an difahami dengan pelbagai justifikasi dari pentafsir, as-sunnah pula banyak mempunyai kemungkinan dari segi kesahihan atau keaslian, serta banyak pula syarahan yang pelbagai kecenderungan, manakala ijma’ dan qias merupakan aras yang boleh digunakan aqal manusia terpilih untuk diperdebatkan(2). Untuk memudahkan perbincangan pengkaji membahagikan mazhab utama dalam kes ini kepada dua aliran iaitu mazhab jumhur ulama dan mazhab ahlul usul.

Mazhab jumhur didefinisikan sebagai jumhur fuqaha’ dimana mereka membincangkan perbahasan hukum perkara cabang berdasarkan dalil-dalil cabang, turut berpandukan qawaed usuliyyah yang asas, serta memandang secara luas dalil-dalil umum(3). Contoh perbahasan mereka ialah :Apakah hukum sembahyang ? Apakah hukum zina ? dan sebagainya.

Ulama yang menjadi perintis dalam aliran jumhur fuqaha’ ialah pengikut kepada para imam mazhab serta mereka yang mula membuat dan mengumpulkan persoalan-persoalan fiqh yang berlaku pada zaman mereka, serta melakukan ijtihad untuk masalah mungkin akan berlaku pada zaman selepas mereka, contohnya ialah Imam Abu Yusof, Imam Nawawi, syeikhul islam Ibnu Taimiah dan lain-lain.

Mazhab ahlul usul pula ialah kumpulan ulama yang membincangkan dalil-dalil umum untuk mengeluarkan hukum secara umum, termasuk juga perkara cabang sebagai hasil terakhir perbincangan mereka(4). Perbahasan mereka ini melibatkan perkara-perkara usul seperti al-Qur’an, as-Sunnah, Ijmak, Qias dan lain-lain, juga turut membincangkan kaedah-kaedah usuliyyah seperti : الأمر يقتضى للوجوب / النهي يقتضى للتحريم  , perbincangan ini melibatkan dalil tafsili, contohnya : أقيموا الصلاة / ولا تقربوا الزنا (5).

Ulama yang menjadi perintis kepada ahlul usul ialah mereka yang merangka sumber istinbat hukum dalam kajian mereka, hamper kesemua ulama pemuka mazhab adalah ulama ahlul usul, antaranya ialah para imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah ( 150 H ), Imam Malik Ibn Anas ( 179H ), Imam as-syafie ( 204H ) dan Imam Ahmad Bin Hanbal ( 241H ), dan beberapa imam mazhab yang telah hilang seperti mazhab zohiri, auza’I dan lain-lain(6).

Tugas atau fungsi utama jumhur fuqaha’ dan ahlul usul dalam perkara ini ialah membuat perbahasan dalam perkara yang berkaitan dengan dalil, hukumnya dan perkara yang berkaitan dengan hokum dan segala yang berkaitan dengannya, metod atau cara istinbat dan segala yang berkaitan, mujtahid dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang mujtahid, dan sebagainya yang berada dalam tajuk perbahasan ilmu usul fiqh.
  

Bab 2
Perbincangan tentang pembahagian hukum kedua-dua mazhab.

2.1 Pembahagian hukum taklifi menurut jumhur ulama’.
Mengikut pandangan jumhur ulama, hukum taklifi terbahagi kepada lima bahagian, iaitu;

a. Ijab

Maknanya ialah segala perintah Allah yang menuntut supaya melakukan sesuatu dengan tuntutan berat atau mesti dilakukan. Atau dengan takrifan yang lain ialah, diberi pahala jika melakukannya dan diberi dosa jika meninggalkannya. Contohnya :
Firman Allah taala :


183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

b. Nadbu.

Maknanya ialah perintah Allah taala yang meminta supaya melakukan sesuatu tuntutan dengan cara tidak bersungguh. Atau dengan kata lain, diberi pahala jika melakukannya dan tidak diberi dosa jika meninggalkannya. Contohnya :
Firman Allah taala :


282. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu

c. Tahrim.

Maknanya ialah perintah Allah taala yang meminta supaya meninggalkan sesuatu perbuatan itu dengan tuntutan yang keras dan bersifat mesti. Atau dengan kata lain, diberi dosa jika melakukannya dan diberi pahala jika meninggalkannya. Contohnya :
Firman Allah taala :


33. dan hendaklah kamu tetap diam di Rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti Yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara Yang mencemarkan diri kamu - Wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari Segala perkara Yang keji).

d. Karahah.

Maknanya ialah perintah Allah taala yang meminta supaya meninggalkan sesuatu perbuatan dengan tuntutan yang tidak bersungguh, atau dengan kata lain diberi pahala jika meningalkannya dan tidak diberi dosa jika melakukannya. Contohnya ;
Firman Allah taala :


101. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu bertanyakan (kepada nabi) perkara-perkara Yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di Dalam Al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.


  1. e. Ibahah.

Maknanya ialah perintah Allah taala yang membolehkan seseorang membuat pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya, atau dengan kata lain tidak diberi pahala atau dosa jika dilakukan atau ditinggalkan, sebaliknya seseorang itu akan mendapat kelebihan jika melakukannya. Contohnya :
Firman Allah taala :


31. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.2.2 Pembahagian hukum taklifi menurut ahlul usul.

Manakala ulama’ ahlul usul pula mereka telah membahagikan hukum taklifi ini kepada tujuh bahagian, iaitu :

  1. a. Fardhu.

Makna fardhu ialah perintah Allah taala yang mengandungi tuntutan melaksanakan sesuatu dengan tuntutan yang bersungguh-sungguh melalui dalil qat’i seperti al-qur’an, hadis mutawatir dan hadis masyhur. Contohnya :
Firman Allah taala :


183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

  1. b. Ijab.

Makna ijab ialah perintah Allah taala yang meminta supaya melakukan sesuatu dengan tuntutan yang bersungguh-sungguh melalui dalil zonni, seperti hadis Ahad dan qias. Contohnya :
Rasulullah s.a.w bersabda :
أن رسول الله (ص) فرض زكاة الفطر من رمضان على كل نفس من المسلمين : حر أو عبد أو رجل أو امرأة صغير أو كبير، صاعا من تمر أو صاعا من شعير.
Maksudnya : Rasulullah s.a.w telah menfardhukan zakat fitrah ke atas orang islam yang terdiri dari hamba, orang merdeka, lelaki, perempuan, kecil dan dewasa; iaitu sekadar satu gantang tamar atau sya’ir.

c. Nadbu.

Makna nadbu ialah perintah Allah yang meminta supaya melakukan sesuatu tuntutan dengan cara tidak bersungguhan. Contohnya : Firman Allah taala :


282. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu

d. Tahrim.

Makna tahrim ialah perintah Allah taala yang meminta meninggalkan sesuatu perbuatan dengan tuntutan secara pasti melalui dalil qat’i. contohnya : Firman Allah taala :


31. dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah Yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan Yang besar.

e. Karahah Tahrim.

Makna karahah tahrim ialah perintah Allah taala yang meminta supaya meninggalkan sesuatu dengan tuntutan yang pasti melalui dalil zanni. Contohnya : Firman Allah taala :
لا يبع بعضكم على بيع بعض
Maknanya : Janganlah kamu menjual barangan diatas jualan orang lain.

f. Karahah Tanzih.

Makna karahah tanzih ialah perintah Allah taala yang meminta supaya meninggalkan sesuatu perbuatan dengan tuntutan yang tidak pasti. Contohnya : Hadis yang bermaksud :
Baginda menegah daripada memakan daging kuda dan meminum susunya.

g. Ibahah.

Makna ibahah ialah perintah Allah taala yang membolehkan membuat pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya. Contohnya : Firman Allah taala :
وكلوا واشربوا
Maknanya : dan makanlah dan minumlah.

Bab 3
Maklumat sokongan tentang perselisihan kedua-dua mazhab.

Sebenarnya perselisihan yang berlaku dalam bidang ini bukan hanya melibatkan dua pihak ini sahaja, kerana persoalan utama yang dibincangkan mereka ialah dalil atau sumber hukum, maka pelbagai pihak ada mempunyai pandangan tersendiri(7). Pengkaji menyusun topik ini secara bernombor bertujuan memudahkan perhatian pembaca.

Kedua-dua mazhab ini mempunyai pandangan tersendiri tentang semua perkara yang dibincangkan, mereka berselisih tentang apa yang dimaksudkan dengan;

  1. Dalil.

Jumhur fuqaha’ mendefinisikan dalil sebagai : ( ما يتوصل بصحيح النظر فيه إلى علم أو ظن ) Sesuatu nas hukum yang secara zahirnya boleh memberi kata putus yang nyata dan samar(8). Pada peringkat ini mereka membuat hipotesis bahawa nas tersebut memberi maksud hukum kepada sesuatu isu, dan ini secara langsung walaupun disana terdapat banyak perbahasan yang telah berlaku dikalangan ulama. Istilah yang digunakan dalam isu ini ialah ( قطعية الأصول   ) dan ( ظنية الفروع   )(9).

Ahlul usul pula mendefinisikan dalil sebagai ( ما يمكن أن يتوصل بصحيح النظر فيه إلى مطلوب خبري   ) sesuatu nas hukum yang secara zahirnya boleh memberi kata putus tentang suatu persoalan atau isu, jelas sekarang, kedua mazhab ini hanya berselisih tentang konteks tujuan nas tersebut, bukan perbezaan yang menyimpang maksud asal nas tersebut(10).

Apabila dibuat perbandingan dan formula untuk mencari titik pertemuan tentang definisi yang sedikit berbeza itu, pengkaji cuba menggabungkan definisi kedua-dua mazhab ini, sebagaimana yang telah dinaqalkan oleh syeikh Abdul Wahab Khalaf, iaitu : ( الدليل هو ما يستفاد منه حكم شرعي عملي مطلقا سواء أكان على سبيل القطع أم على سبيل الظن   )  dalil ialah nas yang memberi petunjuk kepada hukum syarak atas perbuatan manusia sama ada petunjuk itu secara jelas dan qat’ie atau secara samar(11).

  1. 2. Status dalil dalam menjadi hujjah hukum.

Jumhur ulama melakukan beberapa proses terhadap nas syara’ sebelum mengeluarkan hukum, i) cuba menerbitkan hukum. ii) membandingkan beberapa pandangan fuqaha’ terhadap nas tersebut. iii) mengeluarkan hukum untuk masalah cabangan. iv) membentuk qawaed usuliah sebagai asas akhir, yang terakhir inilah yang dikategorikan sebagai kaedah istinbat hukum.

Untuk maklumat detail tentang perkara ini, pengkaji mencadangkan beberapa rujukan sesuai untuk dilihat, kerana skop perbincangan kali ini tidak mendesak ianya di perbincangkan secara detail, antara kitab yang dimaksudkan diatas ialah :

  1. Al-Muafaqat oleh Imam as-Syatibi.
  2. Nazriat al-Maqasid Inda al-Imam as-Syatibi oleh Ahmad ar-Raisuni.

Mazhab ahlul usul pula ada cara dan kaedah tertentu sebelum mengeluarkan hukum, i) mendefinisikan sumber tersebut , ii) bukti atau dalil ianya boleh menjadi hujjah, iii) maksud nas tersebut, iv) status kedudukan nas tersebut jika ada nas yang lain berkaitan, perbandingan kan dilakukan. Pengkaji juga mencadangkan agar rujukan lanjut boleh dibuat dengan merujuk beberapa kitab antaranya :

  1. Raudhah an-Nazhir oelh Ibnu Qudamah.
  2. Jam’u al-Jawami’ oleh Ibnu as-Subki.

Walaupun dilihat cara atau kaedah yang kedua-dua mazhab ini gunakan berlainan, ianya cuma dari segi istilah, sebab objektif utama yang diperkenalkan kedua-dua mazhab adalah memenuhi tuntutan masyarakat yang mahukan dalil untuk hukum amalan yang akan mereka lakukan sebagai manifestasi ibadah mereka kepada Allah taala. 


    
Bab 4
Kesimpulan dan Pandangan mengenai perbezaan pendapat dalam hukum syarak ini.

Islam adalah agama yang memandu kepada kesejahteraan alam sejagat, tidak timbul dimana pun kekurangan islam dalam membentuk individu, keluarga, masyarakat mahupun sebuah Negara. Inikan pula isu tentang perbezaan pandangan dalam hukum islam. Pada hakikatnya, perbezaan pendapat atau pandangan ulama dalam isu ini, menunjukkan kepada kita bahawa islam mengiktiraf kemampuan akal manusia.

Perselisihan ulama dalam bidang fiqh dan usul sebenarnya membuka ruang yang cukup luas untuk umat melaksanakan ibadat, kerana objektif utama fiqh dan usul adalah agen pemudah kepada umat. Prof Dr Yusof al-Qaradawi pernah mengungkapkan bahawa perbezaan antara tiga Abdullah ( Abdullah Ibn Umar, Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Mas’ud ) telah memberi kemudahan kepada orang islam dalam melaksanakan kewajipan(12).

Dan satu kata-kata yang berbunyi :
اختلاف أمتي رحمة(13)
Bermaksud : perselisihan antara umatku adalah satu rahmat
Menjadi satu titik tolak untuk kita bertasamuh dalam melakukan amalan ibadat, cuba perhatikan dengan adanya sifat keterbukaan seperti ini, kita lebih mudah melakukan ibadat haji di kota suci Makkah, dengan tidak payah risau dan takut terhadap kes batal atau tidak sah ibadat tersebut.

Perhatikan apa yang telah dilakukan oleh dua orang sahabat apabila mereka berdua dalam perjalanan telah bermimpi, maka sahabat yang pertama telah bertayammum untuk mengantikan mandi wajib, dan yang seorang lagi mandi denga pasir disekeliling, mereka tidak bertelagah dan tidak menyalahkan antara satu sama lain. Inilah indahnya syariat islam.

إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت وما توفيقي إلا بالله عليه توكلت وإليه أنيب

RUJUKAN

(1) Muhd Sulaiman al-Asyqar, al-Wadih Fi Usul Fiqh, Dar an-Nafa’is : Jordan, cet 4, 1992, ms 21.
(2) Badran Abu al-Ainain, Usul al-Fiqh al-Islami, Muassasah Syabab al-Jamiah:Iskandariah, 1983, ms 37.
(3) Abdul Karim Zaidan, al-Wajiz Fi Usul Fiqh, Dar at-Tauzi’ Wa an-Nasyr al-Islamiyyah:Kaherah, Cet 1, 1993, ms 12. Lihat juga : Nazzwardi Abu Bakar Aly, Muqaddimah Pengajian Islam, Jakim : Kuala Lumpur, cet 1, 2000, ms 183. Perlu diberitahu disini bahawa jumhur fuqaha’ banyak memberi focus keatas hokum perkara cabang fiqh sahaja.
(4) Abdul Karim Zaidan (Dr), al-Wajiz Fi Usul Fiqh, ms 12.
(5) Nazzwardi Abu Bakar Aly, Muqaddimah Pengajian Islam, ms 183.
(6) Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, Darul Hadith : London, 1987, ms 239.
(7) Al-Ghazali, al-Mustasfa fim ilmi al-usul, Darul Ihya’ at-Turath: Beirut, juzuk 1, cet 1, 1997, ms 18.
(8) Al-Bujairimi, Sulaiman Bin Mohd, al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’,Darul Kutub Ilmiah:Beirut, cet1,1996 ,juz 1, ms 11
(9) As-Syatibi, al-Muwafaqaat Fi Usul as-Syariah, sya: Abdullah Daraz,  Darul Kutub Ilmiah: Beirut, t.t, juzuk 1, ms 19.
(10) Al-Amidi,al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, tahqiq:Sayyid al-Jumaili, Darul Kitab al-Arabi:Beirut, cet 3, 1998, juz 1, ms 28.
(11) Abdul Wahab Khalaf, Ilmu Usul fiqh Wa Kholasot Tarikh at-Tasyri’ al-Islami,Matba’ah al-Madani:Mesir,1995,ms23
(12) Yusof al-Qaradawi, as-Sohwah al-Islamiah Baina al-ikhtilaf al-masyru’ wa at-Tafarruq al-mazmum, Maktabah Wahbah:Kaherah, 1998, ms 26.
(13) Ini bukan hadis, tetapi disana terdapat hadis yang maksudnya menyamai kata-kata diatas, imam as-Suyuti ada membuat tarjih terhadap kata-kata ini yang dianggap hadis kerana ianya ( لا أصل له   ). Sila rujuk al-Jami’ as-Soghir.

 


9 August, 2011 3:26 PM
hakcipta terpelihara© 2005-2011 - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
[ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ]