LARANGAN MENYAKITI
Firman Allah s.w.t:

Firman Allah Taala: Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat (perempuan yang beriman) tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul pembohongan dan dosa yang nyata. [ Surah al-Ahzab ayat 58 ]
Sabda Nabi s.a.w:

1567/1- Daripada Abdullah bin A'mr bin al-A's r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang Islam (yang sempurna) ialah yang selamat orang Islam yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Orang yang behijrah pula ialah orang yang meninggalkan larangan Allah kepadanya. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Pengajaran Daripada Hadis
1. Orang Islam yang sebenar tidak akan menzalimi orang Islam yang lain samada dengan tangannya (kuasanya) atau dengan lidahnya.
2. Orang yang mampu meninggalkan perkara-perkara yang haram akan mendapat kemuliaan di sisi Allah s.w.t..

1568/2- Daripada beliau juga, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesipa yang mahu dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka hendaklah kematiannya mendatanginya dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah dia datangkan kepada orang lain apa yang dia suka untuk didatangkan kepada dirinya. Hadis riwayat Muslim.
Pengajaran Daripada Hadis
1. Orang yang beriman sahaja yang akan berjaya di akhirat.
2. Anjuran supaya istiqamah dengan keimanan dan amalan soleh sehingga ke akhir hayat.
3. Anjuran supaya bermuamalat dengan orang lain dengan baik sebagaimana kita suka orang lain bermuamalat dengan baik kepada kita.
4. Setiap amalan kita mestilah dikaitkan dengan akibatnya di akhirat, samada yang berbentuk hubungan kita dengan Allah ataupun sesama makhluk.
5. Dunia bukannya tempat balasan tetapi tempat ujian untuk penempatan yang sebenar di akhirat. Maka berjayalah orang yang sentiasa berhubungan rapat dengan Allah dan baik akhlaknya sesama manusia.
Disediakan oleh: Tuan Mohd Safuan Bin Tuan Ismail, Sarjana Muda Universiti Mu'tah, Korak , Jordan .
Dipetik Daripada: http://tasekpauh.blogspot.com
Kitab Riyadus Salihin, Bab Pada Larangan Menyakiti