Ruangan E-Tazkirah Laman Web Rasmi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
 


Kemaskini: 03 September 2006 - Tazkirah (04) :2006


KELEBIHAN BERDAKWAH

Setiap amal soleh ada ganjarannya, ada kelebihan masing-masing. Begitu juga dengan berdakwah iaitu menyeru manusia supaya menerima Islam sebagai pegangan amalan. Dalam keadaan sedar, kita percaya bahawa dakwah itu kembar kita. Ertinya tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan kita. Ia adalah sebahagian dari kehidupan kita. Kita berdakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain dari bahaya syirik dan maksiat. Syirik dan maksiat membawa manusia ke neraka. Wal'iyazubillah min zalik!

Di bawah ini dinyatakan secara ringkas beberapa kelebihan berdakwah:

1- Dakwah adalah kerja paling mulia kerana ia adalah kerja atau tugas para rasul. Firman Allah S.W.T: (An-Nisa': 165)
(رُسُلاَ مُبَشِّرِيْنَ وَمُنْذِرِيْنَ..)
Maksudnya: Para rasul yang memberi berita gembira dan pemberi amaran.

2- Dakwah adalah sebaik-baik perkataan kerana ia membawa kepada redha dan syurga Allah. Firman Allah S.W.T: (Fussilat: 33)
(وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللهِ وَعَمِلَ صَاِلحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ المُسْلِمِيْنَ)

3- Memperoleh pahala yang besar. Sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallah:
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرُ فَاعِلِهِ أَوْ عَاملِهِ
Hadis riwayat Ibnu Hibban. Isnadnya sahih. Maksudnya: Sesiapa yang menunjukkan seseorang itu kepada kebaikan, maka baginya sumpama pahala pembuatnya atau pengamalnya. Sabdanya lagi:
مَنْ دَعَا إِلَى هُدَى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَنْقُصُ ذلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Hadis riwayat Muslim. Maksudnya: Sesiapa yang menyeru kepada petunjuk, nescaya baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutnya dengan tidak mengurangi sedikitpun pahala-pahalanya itu. Dan sesiapa yang menyeru kepada kesesatan, nescaya baginya dosa seperti mana dosa orang yang mengikutnya tanpa mengurangi sedikitpun dosa-dosanya. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam mendapat pahala ummah.

4- Memperoleh pahala yang tiada tandingannya. Sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:
..لَأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِدًا خَيْرٌُ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُوْنَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ
Hadis riwayat muslim. Maksudnya: Dengan sebab usaha dakwah kamu, seseorang lelaki mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T itu adalah lebih baik dari unta merah(unta yang paling mahal di sisi orang-orang Arab).

Disediakan oleh: Ust. Hilaluddin b. Abdullah



Previous
Next

 
hakcipta terpelihara© 2005-2006 - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
[ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ]