Ruangan E-Tazkirah Laman Web Rasmi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
 


Kemaskini: 06 Jun 2007 - Tazkirah (01) : 2007

PENYUCIAN DIRI

Taarif dan Kepentingan

Penyucian diri dalam istilah Arabnya disebut: تزكية النفس (Tazkiystunnafs). Menurut kamus Idris al-Marbawi, perkataan tazkiah bererti: menyucikan, manakala an-Nafs pula bermaksud: diri seorang atau jiwa. Termasuk di dalam penyucian diri ialah penyucian hati (تزكية القلوب). Sekaligus dapat difahami bahawa perkataan suci lawan kotor. Dikatakan bahawa baju ini kotor, tidak cuci bersih. Fitrah semua manusia tidak mahu kepada yang kotor. Oleh itu tajuk ini sangat-sangat penting kepada kita untuk kita hayati bersama.

Dalil

Firman Allah taala:

ربنا وابعث فيهم رسولا منهم يتلوا عليهم ءايتك ويعلمهم الكتاب والحكمة ويزكيهم إنك أنت العزيز الحكيم

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, Yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah: 129)

كما أرسلنا فيكم رسولا منكم يتلوا عليكم ءايتنا ويزكيكم ويعلمكم الكتاب والحكمة ويعلمكم ما لم تكونوا تعلمون

Maksudnya: "(Nikmat berkiblatkan Kaabah Yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), Yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan Yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa Yang belum kamu ketahui." (Al-Baqarah: 151)

فقل هل لك إلى أن تزكى * وأهديك إلى ربك فتخشى

Maksudnya: "Serta Katakanlah kepadanya: `Adakah Engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? `Dan Mahukah, Aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya Engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? ' ". (An-Nazi'aat: 18-19)

وسيجنبها الأتقى * الذى يؤتي ما له يتزكى

Maksudnya: " Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang Yang sungguh bertaqwa, - Yang mendermakan hartanya Dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya,." (Al-Lail: 17-18)

قد أفلح من زكـها * وقد خاب من دســها

Maksudnya: "Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (Asy-Syams: 9-10)

Tujuan

Tugas menyucikan diri, jiwa dan hati manusia merupakan tugas para rasul, nabi, ulama' dan orang-orang yang tahu perihal agama walaupun satu ayat. Tujuan penyudian tadi agar manusia bersih dari segala kekotoran hakiki dan maknawi. Cuci bersih akidah dan ibadatnya sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala sebagai Rabb dan Ilaah.

Cara

Penyucian diri dapat dilakukan dengan mengerjakan segala bentuk ibadat berpaksikan keikhlasan dan ketepatannya dengan syara'. Ibadat dalam erti kata yang sebenarnya iaitu melakukan apa-apa yang diridhai oleh Allah Ta'ala. Ketika itu diri dan hati menjadi cuci bersih. Maka kesannya atau hasil tanaman tadi dapat dilihat melalui pergerakan anggota keseluruhannya seperti lidah, mata, telingan dan anggota-anggota lain. Semuanya baik termasuk adab-adab dengan Allah Ta'ala dan adab-adab dengan manusia.

Akibat

Jika penyucian diri dan hati tidak berlaku, maka tentunya dapat disaksikan pembiakan maksiat yang berleluasa. Manusia yang kotor dan rosak hatinya memiliki sifat-sifat keji seperti riya', dengki, sombong dan takabbur. Lantaran kesombongan dan keangkohannya, ia menjadi manusia yang kejam dan zalim. Lantaran tiada sifat-sifat yang terpuji, manusia dipandang hina dan menjadi sampah masyarakat. Akibat pertambahan maksiat, kemungkaran dan keangkohan ini akan mengundang bala bencana yang lebih cepat seumpama gempa bumi, ombak besar (tsunami) dan sebagainya.

Tajdid

Oleh kerana manusia dari zaman ke zaman sudah mulai lupa soal penyucian diri dan hati ini, maka sangat perlu ianya diperbaharui (tajdid). Pengisian agama di dalam dada setiap muslim sangat penting. Ia disuburkan dengan adanya sifat taqwa kepada Allah, zuhud, warak dan sering mengingatkan soal kematian dan Hari Pembalasan.

Miliki Taqwa, Zuhud, Wara' dan Ingatkan Mati

Ketaqwaan kepada Allah Ta'ala di sini bermaksud menjaga dan menjauh diri daripada semua perkara yang dimurkaiNya. Manakala perkataan zuhud bererti tidak terpengaruh dengan dunia walaupun mempunyai harat yang banyak. Wara' pula ialah meninggalkan perkara syubhat (yang tidak jelas halal haramnya) kerana takut-takut terbuat perkara haram. Mengingatkan soal kematian dan Hari Pembalasan menjadikan seseorang itu sentiasa mencari bekalan dan beramal soleh.

Selamat Dunia Akhirat

Sebagai kesimpulannya, penyucian diri dan hati perlu disegerakan. Hari-hari yang berlalu jangan dihabiskan sahaja tanpa mengenal diri kenapa ia dijadikan. Selepas diri sendiri, kita juga perlu memikirkan tentang anak cucu kita agar selamat daripada bakaran api neraka. Wal'iyazubillah!

 

 

oleh : Dr. Hilaluddin bin Abdullah

Previous
Next

 
hakcipta terpelihara© 2005-2006 - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
[ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ]