Ruangan E-Tazkirah Laman Web Rasmi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
 


Kemaskini: 01 Julai 2007 - Tazkirah (02) : 2007

RAHMATULLAH

Salah satu daripada sifat Allah s.w.t yang mulia ialah memiliki rahmat. Firman Allah s.w.t:

(وربك الغني ذوالرحمة)

Maksudnya: “Dan Tuhanmu Maha Kaya lagi mempunyai rahmat. (Al-An’aam: 133)

Bagi Allah memiliki 100 rahmat. Lalu diturunkan satu sahaja rahmat tersebut kepada seluruh manusia di muka bumi manakala 99 rahmat lagi ditahan oleh Allah diakhirat nanti untuk para waliNya dan hambaNya yang taat kepadaNya. Sabda Nabi s.a.w:

إن الله تعالى مائة رحمة، أهبط منها رحمة واحدة، إلى أهل الدنيا فوسعتهم إلى آجالهم، وإن الله قابض تلك الرحمة يوم القيامة، فيضمها إلى التسعة والتسعين، فيكملها مائة رحمة لأوليائه وأهل طاعته

Bermula sejak daripada kita di alam rahim lagi Allah s.w.t telah memelihara kita dengan rahmatNya sehingga kita selamat dilahirkan ke dunia. Hal ini berterusan sehingga kita dapat menikmati kehidupan di dunia ini tanpa ada apa-apa kekurangan. Bahkan setiap sesuatu diliputi oleh rahmat Allah yang dikurniakan untuk seluruh penghuni alam.

(ورحمتى وسعت كل شيء)

Maksudnya: “Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu." (Al-A’raaf: 156)

Bagi orang-orang beriman, diutuskan Nabi s.a.w sebagai rahmat untuk sekalian alam bagi membimbing kehidupan manusia ke jalan yang benar. Kemudian diturunkan pula Kitab suci Al-Quran yang mengandungi seribu satu rahmat sebagai panduan penyuluh hidup bagi orang yang beriman serta beramal dengannya.

(وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين)

Maksudnya: “Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiya’: 107)

وننزل من القرءان ما هو شفآء ورحمة للمؤمنين ولا يزيد الظالمين إلا خسارا

Maksudnya: “Dan kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Al-Isra’: 82)

Seluruh umat Islam diperintahkan oleh Allah supaya mengabdikan diri kepadaNya dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan serta tidak melakukan dosa selain syirik. Dengan rahmat serta kasih sayangNya juga Allah s.w.t tetap mengampunkan dosa dan kesalahan orang-orang yang berdoa serta bertaubat di atas kesalahan yang telah dilakukan oleh umatnya.

إن الله لا يغفر أن يشرك به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افترى إثما عظيما

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, Maka Sesungguhnya ia Telah tersesat sejauh-jauhnya. (An-Nisaa’: 116)

Bahkan di akhirat nanti, segala amalan yang dilakukan walaupun sebesar gunung sekalipun pahalanya belum menentukan seorang abid dapat memasuki syurgaNya. Ini kerana hanya dengan rahmat Allah jua kita dimasukkan ke dalam syurga walaupun amal yang kita lakukan hanya sedikit, bergantung kepada keikhlasan serta keinsafan kita untuk kembali kepada Allah yang Esa.

Oleh itu, marilah kita sama-sama bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita tanpa ada rasa keluh kesah dan hiba. Janganlah pula kita berputus asa untuk mendapat rahmat Allah disebabkan sedikit ujian yang menimpa kita sebaliknya berdoalah supaya rahmatNya sentiasa mendampingi kehidupan kita.

قل يا عبادي الذين أسرفوا على أنفسهم لا تقنطوا من رحمة الله إن الله يغفر الذنوب جميعا إنه هو الغفور الرحيم

Maksudnya: “Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa.” (Az-Zumar: 53)

Wallahu a'lam bissowab.


oleh : Al-Faqir Ilallah

 

Previous
Next

 
hakcipta terpelihara© 2005-2006 - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
[ IPTS070-KP (JPS) 5195 / IPTS / 1007 ]