MANHAJ AKIDAH HASAN AL-BANNA TERHADAP SIFAT KHABARIYYAH ALLAH SWT
TAJUK : MANHAJ AKIDAH HASAN AL-BANNA TERHADAP SIFAT KHABARIYYAH ALLAH SWT.
Oleh : Muhammad Nasron bin Yaacob
ABSTRAK :
Hasan al-Banna adalah seorang tokoh pendakwah Islam yang tersohor dan amat berpengaruh. Konsep “Kesedaran Islam” yang menjadi agenda dakwahnya melalui wadah gerakan al-Ikhwan al-Muslimun masih dapat disaksikan kesannya pada hari ini di seluruh pelosok dunia umat Islam. Walaupun begitu, ada aspek yang menjadi pertikaian di antara sebilangan umat Islam hari ini mengenai Hasan al-Banna, iaitu yang berkaitan dengan perspektif beliau terhadap isu sifat khabariyyah Allah SWT. Sebilangan umat Islam berpendapat bahawa manhaj akidah Hasan al-Banna mengenai sifat khabariyyah ialah bermanhaj ithbat, manakala sebilangan yang lain pula berpendapat bahawa manhaj beliau adalah manhaj tafwid. Justeru artikel ini akan merungkai pertikaian pendapat ini bagi mendapatkan jawapannya.
PENDAHULUAN
Hasan al-Banna telah menegaskan di dalam risalah al-‘Aqa’id tentang pentarjihan (keutamaan) manhaj al-Salaf terhadap manhaj al-Khalaf[1]. Kenyataan ini membawa maksud bahawa manhaj al-Salaf menjadi pilihan utama Hasan al-Banna berbanding manhaj al-Khalaf. Melalui kenyataan yang sama juga Hasan al-Banna tidak menolak manhaj al-Khalaf secara mutlak. Pendekatan Hasan al-Banna dalam isu ini ialah pendekatan terbuka iaitu masih boleh menerima kebenaran dalil akidah al-Khalaf, walaupun masih meletakkan keutamaan manhaj al-Salaf mengatasi manhaj al-Khalaf.
Manhaj atau metode akidah Hasan al-Banna dalam isu sifat khabariyyah Allah SWT[2] juga adalah mengikut manhaj al-Salaf. Persoalannya ialah apakah manhaj akidah al-Salaf menurut Hasan al-Banna? Adakah ia dimaksudkan sebagai ithbat atau tafwid? Manhaj ithbat ialah metode akidah yang mengekalkan makna zahir bagi nas sifat khabariyyah dan mengisbatkannya sebagaimana selayaknya dengan keagungan Allah SWT. Manhaj tafwid pula ialah menekankan konsep tafwid (menyerahkan) makna zahir lafaz sifat khabariyyah itu kepada Allah SWT dan tidak berbicara panjang mengenainya. Dalam isu ini, golongan Salafiyyah mendakwa bahawa manhaj akidah al-Salaf ialah ithbat, sedangkan aliran al-Khalaf khususnya Asha‘irah mendakwa bahawa ia adalah tafwid.
Berdasarkan karya Hasan al-Banna dalam risalah al-‘Aqa’id, golongan Salafiyyah hari ini mendakwa bahawa beliau berpegang dengan metode tafwid.[3] Namun dakwaan ini ditolak oleh sebilangan umat Islam yang menjadi pendokong bagi gerakan dakwah Hasan al-Banna, dengan berdalilkan risalah yang sama.[4] Para pendokong ini mendakwa bahawa Hasan al-Banna juga bermanhaj ithbat. Justeru dokongan mereka ini membawa maksud bahawa manhaj akidah al-Salaf dan Hasan al-Banna sendiri ialah ithbat yang juga manhaj akidah bagi golongan Salafiyyah.
PENGENALAN MANHAJ ITHBAT DAN TAFWID
Istilah ithbat adalah berasal dari perkataan bahasa Arab; أثْبَتَ يُثْبِتُ إثْبَاتًا, yang kemudiannya telah menjadi satu istilah perbendaharaan bahasa Melayu kini iaitu dengan ejaan “isbat”. Jadi, pengisbatan bermaksud penetapan, penentuan dan pengesahan[5]. Isbat di dalam konteks di sini bermaksud menetap, menentu dan mengesahkan erti zahir sifat khabariyyah Allah SWT sebagaimana yang disebutkan oleh al-Quran dan hadith sahih, di samping adanya rukun kedua manhaj akidah mereka iaitu menyerahkan kayfiyyahnya (kaifiat) kepada Allah SWT.
Dalam menyatakan konsep asas manhaj ithbat, Ibn Taymiyyah telah mengungkapkannya sebagaimana berikut[6]:
ومَذْهَبُ السَلَف: انَّهُمْ يَصِفُوْنَ اللهَ بِمَا وَصَفَ بِهِ نَفْسَهُ، وبِمَا وَصَفَهُ به رَسولُه مِنْ غَيْرِ تَحْرِيْفٍ ولا تَعْطِيْلٍ، ومِنْ غَيْرِ تَكْيِيْفٍ ولا تَمْثِيْلٍ.
Maksudnya: Dan mazhab al-Salaf: Sesungguhnya mereka menyifatkan Allah sebagaimana (Allah) sifatkannya (untuk) diriNya, dan dengan sifat yang rasulNya menyifatkanNya tanpa seleweng dan tanpa penafian, dan tanpa (menyatakan) kaifiat dan tanpa misalan (disamakan dengan sifat makhluk).
Ungkapan di atas menjelaskan bahawa al-Salaf mengakui dan mengisbatkan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.[7]
Tafwid pula adalah dari perkataan bahasa Arab; (فوّض – يفوّض – تفويضا), bererti menyerahkan. Erti (فوّض إليه الأمر: صيّره إليه وجعله الحاكم فيه) ialah; menyerahkan kepadanya sesuatu perkara: menyerahkannya (sesuatu) kepadanya dan menjadikan dia sebagai hakim terhadap sesuatu itu[8]. Asas utama manhaj tafwid ialah tidak membicarakan makna-makna bagi sifat khabariyyah Allah SWT, bahkan ia perlu ditafwidkan (diserahkan) kepada Allah SWT.
Seorang tokoh penting manhaj tafwid ialah Abu al-Ma‘aliy al-Juwayniy (419-478H), yang digelar dengan Imam al-Haramayn. Beliau adalah ‘Abd al-Malik bin ‘Abd Allah bin Yusuf bin Muhammad bin ‘Abd Allah bin Hayawiyyah al-Juwayniy. Karya akidah utamanya dan merupakan karya di akhir usianya yang menggambarkan manhaj tafwid ialah al-Risalah al-Nizamiyyah, sebagaimana berikut[9]:
وذَهَبَ أَئِمَّةُ الْسَلَفِ إلى الانْكِفَافِ عَنْ التَأْوِيلِ ، وإجْرَاءِ الظَوَاهِرِ على مَوَارِدِهَا وتَفْوِيْضِ مَعَانِيْهَا إلى الربِّ تعالى . والذي نَرْتَضِيْهِ رَأْيًا وَنَدِيْن الله به عَقْلا : اتِّبَاعُ سَلَفِ الأمّة .
Maksudnya: Dan telah berpendapat pimpinan al-Salaf pada menahan dari mentakwil dan membiarkan secara zahir sebagaimana sumber asalnya dan menyerahkan makna-maknanya kepada Rabb Ta‘ala (Allah). Dan (manhaj) yang kami redai sebagai pendapat dan yang kami anuti tentang Allah secara akal: mengikuti (sebagaimana) golongan al-Salaf.
Pengenalan ringkas mengenai manhaj ithbat dan tafwid di atas menjelaskan bahawa manhaj ithbat mengisbat dan mengekalkan sifat-sifat khabariyyah Allah SWT dengan makna zahirnya yang selayaknya bagi Allah SWT tanpa sebarang tashabuh (keserupaan) dengan makhluk. Manakala manhaj tafwid pula ialah menyerahkan hakikat makna-makna yang boleh difahami dari lafaz zahir nas sifat khabariyyah itu kepada Allah SWT kerana hanya Dia SWT sahaja yang mengetahui hakikatnya.
HASAN AL-BANNA DI ANTARA PENENTANG DAN PENDOKONG
Dalam risalah al-‘Aqa’id, Hasan al-Banna telah menggunakan istilah tafwid ma‘na (menyerahkan makna) tentang persoalan yang berkait dengan nas sifat khabariyyah Allah SWT. Justeru itu golongan Salafiyyah[10] menolak dakwaan Hasan al-Banna sebagai bermanhaj al-Salaf kerana penggunaan istilah tafwid ma‘na itu. Ini kerana golongan Salafiyyah hanya menerima penggunaan istilah tafwid kayfiyyah (menyerahkan kaifiat) sahaja, sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Taymiyyah, dan disambung lagi oleh para pengikut beliau sehingga masa kini.
Dakwaan ini tidak dipersetujui oleh golongan pendokong Hasan al-Banna masa kini, yang kemudian menulis karya-karya mereka bagi tujuan menolak dakwaan Salafiyyah ini. Dalil golongan pendokong ini ialah Hasan al-Banna juga menggunakan istilah kedua mengenai kenyataannya tentang manhaj akidah al-Salaf, iaitu istilah tafwid haqiqah (menyerahkan hakikat). Tafwid haqiqah ini didakwa oleh mereka sebagai istilah yang seerti dengan istilah tafwid kayfiyyah.
Buku pertama yang mendokong dakwaan ini ialah; Ma‘an ‘ala Tariq al-Da‘wah: Syaykh al-Islam Ibn Taymiyyah wa Imam al-Shahid Hasan al-Banna. Buku ini membicarakan tentang aspek persamaan dalam pemikiran di antara dua tokoh umat Islam yang tersohor iaitu Ibn Taymiyyah dan Hasan al-Banna. Dalam aspek akidah, kupasan utamanya adalah tentang konsep tafwid dalam akidah Hasan al-Banna. Pengarang buku ini cuba mentaqribkan (mendekatkan) pemikiran di antara kedua tokoh ini di dalam aspek akidah berdasarkan pernyataan Ibn Taymiyyah di dalam Majmu‘ Fatawa dan pernyataan Hasan al-Banna di dalam risalah al-‘Aqa’id. Hasil dapatan buku ini menyatakan bahawa sebenarnya manhaj akidah di antara Hasan al-Banna dan Ibn Taymiyyah adalah sama, di mana akidah Hasan al-Banna bukan bermanhaj tafwid sebagaimana dakwaan sesetengah pihak, tetapi bermanhaj ithbat sepertimana akidah yang diperjuangkan oleh Ibn Taymiyyah. Walau bagaimanapun, perspektif Hasan al-Banna terhadap manhaj al-Khalaf lebih terbuka berbanding Ibn Taymiyyah.[11]
Buku kedua pula bertajuk Manhaj al-Imam al-Banna fi al-‘Aqidah. Buku ini ditulis bagi menolak dakwaan salah dan tohmahan terhadap akidah Hasan al-Banna dalam dua perkara, pertamanya berkenaan permasalahan tawassul, dan keduanya tentang manhaj tafwid yang didakwa menjadi manhaj akidah Hasan al-Banna. Ketika memfokuskan perbincangan tentang aspek akidah, penulis buku ini telah cuba membuktikan bahawa manhaj akidah Hasan al-Banna adalah serupa dengan manhaj ithbat yang didokongi oleh aliran Salafiyyah.[12]
Buku ketiga pula ialah bertajuk Fahm al-Islam fi Zilal al-Usul al-Ishrin. Buku ini memfokuskan pembentangan dan huraian tentang dua puluh prinsip yang disusun oleh Hasan al-Banna untuk dijadikan panduan gerakan dakwah Ikhwan al-Muslimin. Dalam prinsip kesepuluh yang menyatakan tentang manhaj akidah Ikhwan al-Muslimin, buku ini menekankan kepentingan taqrib (mendekatkan) pemahaman di antara umat Islam dan akhirnya menegaskan bahawa manhaj akidah Hasan al-Banna adalah serupa dengan manhaj ithbat yang berpegang dengan prinsip tafwid kayfiyyah.[13]
Justeru setiap para penentang dan pendokong Hasan al-Banna telah merujuk sumber yang sama iaitu risalah al-‘Aqa’id bagi membuktikan dakwaan masing-masing. Sedangkan risalah ini memang ada mengandungi kedua-dua istilah tafwid ma‘na dan tafwid haqiqah (atau kaifiat) yang menjadi bahan dakwaan setiap golongan tadi. Justeru sukar menerima dakwaan satu golongan sedangkan satu golongan lain juga ada bukti dalam dakwaan mereka itu. Maka kebenaran dakwaan setiap golongan ini perlu ditentukan melalui dapatan data lain. Penulis mendapati setiap penentang dan pendokong di atas tidak merujuk penulisan akidah Hasan al-Banna dalam majalah al-Manar,[14] yang ditulis selepas penulisan risalah al-‘Aqa’id, dan menjadi penyelesai bagi pertikaian tentang manhaj akidah Hasan al-Banna dalam isu sifat khabariyyah.
SIFAT KHABARIYYAH ALLAH SWT
Sebelum artikel ini membincangkan lebih fokus tentang manhaj akidah Hasan al-Banna di antara ithbat dan tafwid, ia terlebih dahulu akan menjelaskan mengenai sifat khabariyyah Allah SWT secara ringkas.
Banyak ayat al-Quran dan hadis sahih menjelaskan tentang sifat-sifat yang sabit pada Allah SWT. Pemahaman para ulama tentang sifat Allah SWT ini telah membahagikannya kepada beberapa bahagian, bergantung pada manhaj yang dipegangi oleh sesuatu aliran akidah. Artikel ini memilih pembahagian sifat Allah yang dibuat oleh al-Bayhaqiy, seperti berikut[15]:
- Sifat Dhatiyyah
Sifat dhatiyyah (zat) merupakan sifat yang melazimi dhat (zat) Allah SWT sejak sediakala, dan tidak berkait pada waktu dan ketika tertentu dengan mashi’ah (kehendak) dan qudrah (kuasa)Nya. Contohnya ialah hayah (hidup), ‘ilm (ilmu), qudrah (kuasa), quwwah (kekuatan), ‘izzah (kemuliaan), mulk (kekuasaan), ‘azamah (kebesaran), kibriya’ (kesombongan), majd (ketinggian) dan jalal (keagungan). Al-Bayhaqiy menyenaraikan sifat ini sebagai sifat dhatiyyah ‘aqliyyah khabariyyah kerana ia sabit pada dalil aqliy (akal) dan naqliy (nas)[16]. Demikian juga sifat yang disabitkan oleh sumber khabariyyah yang sahih seperti wajh, yad dan ‘ayn, yang dinamakan oleh al-Bayhaqiy sebagai sifat dhatiyyah khabariyyah kerana ia disabitkan oleh dalil naqliy (nas)[17], dan memerlukan metode yang jelas sebelum dapat diterima oleh akal.
- Sifat Fi‘liyyah
Sifat fi‘liyyah (perbuatan) pula ialah sifat yang berkait dengan mashi’ah dan qudrah Allah SWT berdasarkan waktu dan ketika, dan ia akan berlaku berdasarkan mashi’ah dan qudrahNya itu. Contohnya ialah khalq (ciptaan), rizq (pemberian), ihya’ (menghidupkan), imatah (mematikan), ‘afwu (memaafkan) dan ‘uqubah (membalas). Al-Bayhaqiy mengkategorikan senarai sifat ini sebagai sifat fi‘liyyah ‘aqliyyah khabariyyah kerana ia sabit pada dalil aqliy (akal) dan naqliy (nas).[18] Demikian juga sifat istiwa’ (bersemayam), maji’ (datang), ityan (hadir), nuzul (turun), dahik (ketawa), reda (reda), ghadab (marah), karahiyah (benci) dan mahabbah (kasih sayang). Al-Bayhaqiy mengkategorikan sifat ini sebagai sifat fi‘liyyah khabariyyah kerana ia sabit pada dalil naqliy (nas) sahaja[19].
Sifat al-kalam pula adalah sifat yang mempunyai ciri sifat dhatiyyah dan fi‘liyyah secara bersama. Ia dikategorikan dhatiyyah kerana dilihat dari sudut aslinya, dan dikategorikan fi‘liyyah kerana dilihat dari sudut kebergantungannya pada mashi’ah (kehendak) Allah SWT[20].
Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sifat khabariyyah merupakan sifat yang disabit dan dinyatakan oleh nas wahyu sahaja, dan ia tidak sabit pada akal kecuali selepas difahami dengan metode tertentu dan selari dengan landasan syarak. Metode ini ialah di antara ithbat dan tafwid yang menjadi polemik besar di antara umat Islam hari ini. Perlu dijelaskan bahawa isu polemik yang berlaku bukan berkaitan khabariyyah dhatiyyah atau fi‘liyyah, tetapi tentang ithbat dan tafwid.
Ada sifat khabariyyah yang disebutkan oleh al-Quran dan hadith, dan ada yang disebutkan oleh hadith sahaja. Di antara sifat khabariyyah Allah SWT yang disebutkan oleh al-Quran dan hadis ialah istiwa’ (bersemayam), rahmah (rahmat), mahabbah (kasih sayang), ghadab (marah), yadd (tangan), reda (reda), wajh (wajah), kalam (kata-kata), nafs (diri), ru’yah (melihat), qurb wa ma‘iyyah (dekat dan bersama), saq (betis), ‘ayn (mata) dan maji’ (datang). Manakala di antara sifat khabariyyah yang hanya disebutkan oleh hadith sahaja ialah nuzul (turun), farah (gembira), dahik (ketawa), qadam (kaki), asabi‘ (jari) dan ta‘ajjub (kagum).
PERSPEKTIF HASAN AL-BANNA TERHADAP SIFAT KHABARIYYAH
Ada dua karya yang ditulis oleh Hasan al-Banna mengenai sifat khabariyyah Allah SWT. Dua karya tersebut ialah risalah al-‘Aqa’id dan majalah al-Manar. Karya-karya akidah lain terutamanya risalah Allah fi al-‘Aqidah al-Islamiyyah tidak mengandungi data yang diperlukan.
Melalui risalah al-‘Aqa’id, Hasan al-Banna menyatakan pandangannya terhadap sifat khabariyyah Allah SWT dengan menggunakan istilah tafwid ma‘na dan tafwid haqiqah, sebagaimana berikut[21]:
- Tafwid ma‘na.
- وكُلُّ ذلك بِمَعَانٍ لا نَدْرِكُها ، ونَتْرُكُ للهِ تبارك تعالى الإحَاطَةَ بِعِلْمِهَا .
Maksudnya: Dan semua yang demikian itu adalah dengan makna-makna yang tidak dapat kita tanggapinya, dan kita tinggalkan kepada Allah SWT rangkuman tentang ilmunya. [22]
- ويَتْرُكُوْن بَيَانَ المقصودِ منْها لله تبارك وتعالى .
Maksudnya: Dan mereka (al-Salaf al-Salih) meninggalkan penerangan maksud tentangnya kepada Allah SWT. [23]
- ويَسْكُتُوْا عنْ تفسيْرِها أو تأوِيْلِها .
Maksudnya: Dan mereka (al-Salaf al-Salih) diam dari mentafsirkannya atau mentakwilkannya. [24]
- ونحن نَعْتَقِدُ أنّ رأيَ السلفِ من السُكُوْتِ وتفويضِ عِلْمِ هذه المعاني إلى الله تبارك وتعالى أسْلَم وأوْلى بالاتّباع .
Maksudnya: Dan kami berpegang bahawa pandangan al-Salaf iaitu diam dan menyerahkan ilmu makna-makna ini kepada Allah Tabaraka wa Ta‘ala adalah lebih sejahtera dan paling utama untuk diikuti. [25]
- Tafwid haqiqah.
- نُؤْمِنُ بهذه الآياتِ والأحاديثِ كما وَرَدَتْ … فَهُمْ يُثْبِتُوْنَ اليَدَ والعَيْنَ والأعْيُنَ والاسْتِوَاء والضَحِكَ والتَعَجُّبَ .
Maksudnya: Kami beriman dengan ayat-ayat dan hadis-hadis ini sebagaimana yang dinyatakan … Maka mereka (al-Salaf) mengisbatkan Yad, ‘Ayn, A‘yun, Istiwa’, Dahik, Ta‘ajjub .[26]
- وصفات الله تبارك وتعالى في القرآن الكريم كثيرة ، وكَمَالاتُه تبارك وتعالى لا تتناهى ، ولا تُدْرَكُ كُنْهُهَا عُقُوْلُ البَشَرِ ،
Maksudnya: Dan sifat-sifat Allah Tabaraka wa Ta‘ala di dalam al-Quran al-Karim adalah banyak, dan kesempurnaanNya Tabaraka wa Ta‘ala tiada terhad, dan akal-akal manusia tidak dapat menanggapi hakikat sifatNya[27].
- فتَفَطَّن لهذا المعنى فإنّهُ دَقِيْق ، ولسْتَ مُطَالبا بمعرفةِ كُنْهِهَا.
Maksudnya: Maka telitikan makna ini maka sesungguhnya ia adalah mendalam, dan kamu tidak dituntut mengetahui tentang hakikat sifatnya.[28]
Petikan-petikan teks dari risalah al-‘Aqa’id di atas mengandungi istilah tafwid ma‘na dan tafwid haqiqah yang telah dijadikan dalil dan hujah bagi para penentang dan pendokong Hasan al-Banna. Hakikat manhaj akidah Hasan al-Banna perlu distatuskan sama ada bermanhaj ithbat atau tafwid, hanya dengan menemukan data-data dari sumber lain. Dalam hal ini, penulis mendapati bahawa data-data tersebut ada dalam majalah al-Manar, dengan petikan-petikan berkaitan adalah seperti berikut:
- أن مذهب السلف تَرْكُ الخَوْضِ في هذه المعاني مع اعْتِقَادِ تَنْزِيْهِ الله – تبارك وتعالى – عن أمْثالِها المنْسُوْبة لخَلْقِه .
Maksudnya: Bahawa mazhab al-Salaf meninggalkan berbicara panjang tentang makna-makna ini (sifat khabariyyah) di samping berpegang dengan kesucian Allah Tabaraka wa Ta‘ala dari keserupaan dengan makhlukNya [29].
- وإمرَارُها كما جاءتْ وتفويضُ عِلْمِ حَقَائِقِها إلى الله.
Maksudnya: Dan membiarkannya sebagaimana ia datang dan menyerahkan (tafwid) ilmu hakikatnya kepada Allah [30].
- والحق في هذا وأمثاله أنْ يقال استوى اسْتِوَاءً يَلِيْقُ بجَلَالِه مع اعْتِقَادِهِمْ عَدَمِ المُشَابَهَة وتفويض الحقيقة إلى الله، إلا أن تقومَ قرينة لا تدفع تَصَرُّف اللفظِ عنْ ظاهرِه، فنَقِفُ عندَ حدودِ هذا الصرْفِ ولا نتجاوزه كما ذهب إليه السلف في مَعِيَّةِ اْلحق – تبارك وتعالى – بعِلْمِهِ لا بِذَاتِهِ .
Maksudnya: Dan kebenarannya tentang isu ini dan seumpamanya bahawa perlu dinyatakan Dia beristiwa’ dengan istiwa’ yang sesuai dengan keagunganNya di samping pegangan mereka untuk tidak menyerupakan dan menyerahkan hakikat sebenar kepada Allah, melainkan adanya dalil yang tidak boleh menolak pengubahan lafaz zahirnya, maka sudah memadai bagi kita setakat batas pengubahan ini sahaja dan kita tidak melampauinya seperti yang telah ditunjukkan oleh al-Salaf berkenaan sifat “kebersamaan” – ma‘iyyah Allah Tabaraka wa Ta‘ala – adalah dengan ilmuNya bukan dengan dhatNya [31].
- استوى الله على عرشه استِوَاءً تعجز عقولُنا عن إدراكِ حقيقته مع عِلْمِنا بأنه لم يكن كاستواءِ الخَلْقِ وبذلك نَرُدُّ الحقائقَ لله تبارك وتعالى … فيَدُ اللهِ التي ذكرها في كتابه صفة من صفاته تعجز عقولُنا عن إدراك حقيقتِها مع علْمِنا التام بأنها لنْ تَكُنْ كأيْدِيْنَا .
Maksudnya: Allah beristiwa’ di atas ‘arashNya (dengan) istiwa’ yang lemah akal kita untuk menanggapi hakikatnya di samping kita mengetahui bahawa ia bukan sepertimana istiwa’ makhluk, dan kerana itu kita serahkan segala hakikat kepada Allah Tabaraka wa Ta‘ala … maka yad Allah yang disebutkan di dalam kitabNya (adalah) satu sifat dari sifat-sifatNya yang lemah akal kita menanggapi hakikatnya di samping kita mengetahui sesempurnanya bahawa ia bukan sebagaimana tangan-tangan kita[32].
Dalam majalah al-Manar ini, manhaj akidah Hasan al-Banna lebih terserlah sebagai manhaj ithbat, terutama dua petikan terakhir yang mengisbatkan Istiwa’, dan Yad Allah SWT sebagaimana yang diisbatkan oleh manhaj ithbat. Perspektif Hasan al-Banna terhadap sifat ma‘iyyah (kebersamaan) Allah SWT dengan makhluk dalam petikan (iii) juga menjelaskan keserupaan manhajnya dengan pendapat Ibn Taymiyyah sendiri dan manhaj ithbat. Justeru petikan-petikan teks Hasan al-Banna adalah merupakan jawapan dan penyelesaian bagi kekeliruan yang ada dalam risalah al-‘Aqa’id, seterusnya mengesahkan manhaj akidah Hasan al-Banna ialah manhaj ithbat.
KETERANGAN ISTILAH
Berdasarkan petikan di atas dan pemerhatian terhadap istilah-istilah utama bagi manhaj ithbat dan tafwid di sepanjang kajian ini, terdapat tiga istilah tafwid yang perlu diperjelaskan, iaitu:
- Tafwid Kayfiyyah
Tafwid kayfiyyah bermaksud menyerahkan kaifiat sifat Allah SWT kepadaNya kerana akal tidak dapat menanggapi kaifiat tersebut. Konsep tafwid kaifiat ini menjadi pegangan manhaj ithbat, kerana merujuk pada kenyataan Malik bin Anas terhadap istiwa’ Allah SWT, iaitu; (الإستواء معلوم والكيف مجهول); istiwa’ difahami dan kaifiatnya tidak diketahui. Maka tafwid kayfiyyah bermaksud makna sifat Allah SWT adalah difahami, cuma kaifiatnya sahaja yang tidak dapat ditanggapi akal. Walaupun manhaj ithbat berpegang dengan prinsip tafwid pada kaifiat sifat khabariyyah, namun prinsip ithbat pada mengisbatkan sifat khabariyyah adalah lebih menyerlah dan dominan dari prinsip tafwid pada menyatakan identiti manhaj mereka.
- Tafwid Ma‘na
Tafwid ma‘na pada sifat khabariyyah menjadi asas akidah bagi manhaj tafwid. Ia bermaksud bahawa makna-makna dan maksud bagi sifat khabariyyah mesti diserahkan kepada Allah SWT. Jadi, perbezaan manhaj tafwid dengan manhaj ithbat ialah pada skop pengisbatan terhadap sifat khabariyyah. Manhaj tafwid meletakkan skop pengisbatan adalah pada lafaz zahir sifat khabariyyah dan skop tafwid adalah pada makna-maknanya, sedangkan manhaj ithbat meletakkan skop isbat pada lafaz zahir dan maknanya, manakala kaifiatnya sahaja yang ditafwidkan. Oleh kerana konsep tafwid manhaj tafwid adalah lebih umum berbanding manhaj ithbat, maka istilah tafwid lebih mendominasi manhaj mereka pada menyatakan tentang identiti manhaj.
- Tafwid Haqiqah[33]
Merujuk pada istilah tafwid haqiqah, penulis mendapati bahawa istilah ini lebih ketara digunakan oleh Hasan al-Banna dalam majalah al-Manar bagi menyatakan secara mendalam tentang manhaj akidahnya terhadap sifat khabariyyah. Istilah ini juga merupakan sokongan dan penerangan tambahan terhadap istilah manhaj akidahnya di dalam risalah al-‘Aqa’id iaitu istilah (الكُنْه) yang juga merujuk pada hakikat sifat. Justeru penulisan di dalam majalah al-Manar adalah penjelasan dan huraian tambahan terhadap penulisannya di dalam risalah al-‘Aqa’id. Ini kerana penulisannya di dalam majalah al-Manar pada tahun 1939-1940 adalah penulisan yang ditulisnya selepas risalah al-‘Aqa’id yang ditulis pada tahun 1933.
FAKTOR PERCAMPURAN ISTILAH
Hasan al-Banna menggunakan istilah tafwid ma‘na dan tafwid haqiqah dalam penulisan akidahnya. Penulis berpendapat bahawa penggunaan istilah-istilah yang bercampur di atas berlaku adalah kerana sebab-sebab berikut:
- Istilah yang berkaitan dengan sifat khabariyyah seperti tafwid kayfiyyah, tafwid ma‘na dan tafwid haqiqah merupakan istilah yang tidak dibincangkan oleh umat Islam khususnya di Mesir pada waktu itu. Setiap manhaj lebih cenderung untuk hanya menganuti pelajaran yang diterima terutama yang berkaitan dengan konsep dan istilah secara warisan tanpa membahaskannya secara spesifik. Manhaj ithbat sendiri tidak dikenali sebagai memperjuangkan istilah tafwid kayfiyyah ketika memperkenalkan manhaj mereka, malah istilah yang tersohor pada mereka ialah istilah ithbat. Manhaj tafwid pula menekankan kepentingan dan keutamaan konsep tafwid ma‘na, tanpa membandingkannya dengan tafwid kayfiyyah dan tafwid haqiqah. Manakala manhaj ta’wil pula menumpukan pada konsep takwil dan penggunaannya di dalam sifat khabariyyah. Justeru dengan sebab tiadanya suatu usaha yang menyeluruh terhadap perbandingan aliran akidah ithbat, tafwid dan ta’wil di waktu itu telah menzahirkan ketidakfahaman di antara umat Islam di dalam isu sifat khabariyyah.
Muhammad Rashid Reda yang sebelum ini berpegang dengan manhaj al-Khalaf seperti gurunya Muhammad Abduh, hanya dapat membezakan manhaj ithbat dan ta’wil selepas beliau membaca dan memberi perhatian terhadap karya-karya Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim. Justeru konsep pemboleh beza itu hadir selepas dilakukan perbandingan manhaj akidah di antara aliran-aliran akidah yang ada.
- Hasan al-Banna mempunyai pemahaman bahawa istilah tafwid ma‘na dan tafwid haqiqah adalah istilah yang seerti. Penggunaan istilah tafwid ma‘na adalah kerana ia merupakan istilah warisan yang diambil daripada para ulama (bermanhaj tafwid) terdahulu, dan penggunaan istilah tafwid haqiqah dengan lafaz (الحقيقة) dan (الكنه) menjadi istilah kedua bagi tafwid ma‘na, dan ia merujuk pada satu maksud. Sehubungan itu Hasan al-Banna menggunakan kedua-dua istilah tersebut bagi merujuk pada tafwid sifat khabariyyah, khususnya di dalam penulisannya di dalam risalah al-‘Aqa’id. Hasan al-Banna lebih banyak menggunakan istilah tafwid haqiqah di dalam majalah al-Manar sebagai suatu penerangan tambahan terhadap istilah tafwid ma‘na yang digunakan di dalam risalah al-‘Aqa’id.
- Berdasarkan pembentangan yang lalu, penulis mendapati bahawa manhaj akidah Hasan al-Banna sebenarnya berada di bawah pengaruh dua sumber manhaj akidah utama di Mesir pada waktu itu iaitu pertamanya; manhaj tafwid dan ta’wil Asha‘irah yang menjadi manhaj akidah bagi majoriti umat Islam Mesir, dan keduanya; manhaj akidah Rashid Reda dan majalah al-Manar yang lebih cenderung pada manhaj akidah Ibn Taymiyyah atau manhaj ithbat. Dengan persekitaran pengaruh yang seumpama itu di samping cita-cita Hasan al-Banna yang mahukan kesatuan akidah umat Islam yang berasaskan ajaran al-Quran dan al-Sunnah sebenar, maka penulis berpendapat bahawa Hasan al-Banna cuba memanfaatkan kesemua istilah tersebut sebagai istilah yang satu dengan menekankan titik persamaan di antara semua manhaj akidah tersebut dan mengenepikan perbezaan pemahaman yang ada.
DI ANTARA TAFWID KAYFIYYAH DAN TAFWID HAQIQAH
Berdasarkan analisis terhadap konsep tafwid menurut Hasan al-Banna, didapati bahawa istilah tafwid haqiqah boleh disama ertikan dengan istilah tafwid kayfiyyah. Kenyataan Hasan al-Banna tentang perkara tersebut amat ketara melalui petikan berikut[34]:
استوى الله على عرشه استواء تعجز عقولنا عن إدراك حقيقته مع علمنا بأنه لم يكن كاستواء الخلق وبذلك نرد الحقائق لله تبارك وتعالى … فيد الله التي ذكرها في كتابه صفة من صفاته تعجز عقولنا عن إدراك حقيقتها مع علمنا التام بأنها لن تكن كأيدينا .
Maksudnya: Allah beristiwa’ di atas ‘arashNya (dengan) istiwa’ yang lemah akal kita untuk menanggapi hakikatnya di samping kita mengetahui bahawa ia bukan sepertimana istiwa’ makhluk, dan kerana itu kita serahkan segala hakikat kepada Allah Tabaraka wa Ta‘ala … maka yad Allah yang disebutkan di dalam kitabNya (adalah) satu sifat dari sifat-sifatNya yang lemah akal kita menanggapi hakikatnya di samping kita mengetahui sesempurnanya bahawa ia bukan sebagaimana tangan-tangan kita.
Ciri-ciri yang membuktikan persamaan di antara konsep tafwid kayfiyyah dengan tafwid haqiqah melalui petikan di atas ialah:
- Hasan al-Banna mengisbatkan sifat khabariyyah bagi Allah SWT sebagaimana makna zahirnya sepertimana yang diisbatkan oleh manhaj ithbat.
- Sifat khabariyyah tersebut tiada keserupaan dengan sifat yang sama namanya sebagaimana yang ada pada makhluk.
- Akal dan kemampuan manusia tidak mampu menanggapi ciri-ciri sebenar yang ada pada sifat khabariyyah Allah SWT itu, dan ia perlu diserahkan (tafwid) kepada Allah SWT. Hasan al-Banna memaksudkan ketidakmampuan akal manusia dan konsep tafwid itu melalui istilah tafwid haqiqah, manakala manhaj ithbat mengistilahkannya sebagai tafwid kayfiyyah.
- Istilah al-haqiqah ini juga digunakan oleh Ibn Taymiyyah sebagai ikon golongan Salafiyyah pada menyatakan tentang tafwid kayfiyyah, sebagaimana berikut[35]:
وكذلك مَدْلُوْل أسمائِهِ وصِفَاتِهِ التي يختص بها، التي هي حقيقتُه، لا يعْلَمُها إلاّ هو.
Maksudnya: Dan demikian petanda asma’ dan sifat-sifatNya yang mengkhususinya, yang ia adalah hakikatNya, tiada diketahui tentangnya kecuali Dia.
Ciri-ciri ini menyimpulkan bahawa Hasan al-Banna mengisbatkan sifat khabariyyah bagi Allah SWT sebagaimana makna zahir bagi lafaz tersebut, dan dalam masa yang sama menafikan tashabuh (keserupaan) sifat tersebut dengan sifat yang ada pada makhluk. Demikian juga manhaj ithbat telah mengisbatkan makna zahir lafaz sifat khabariyyah bagi Allah SWT dan menafikan tashabuh (keserupaan) sifat tersebut dengan sifat makhluk. Perbezaannya ialah pada istilah, apabila manhaj ithbat menggunakan istilah tafwid kayfiyyah yang merujuk pada kenyataan (والكيف مجهول), manakala Hasan al-Banna merujuk istilah tafwid haqiqah pada menyatakan perkara yang sama.
MEMUTLAKKAN ITHBAT BAGI SIFAT KHABARIYYAH
Hasan al-Banna memutlakkan (mengkomponenkan) ithbat pada semua sifat khabariyyah Allah SWT tanpa mengasingkan di antara sifat dhatiyyah seperti Wajh dan Yad, dengan sifat fi‘liyyah seperti Dahik dan Ta‘ajjub. Kenyataannya seperti berikut:
نؤمن بهذه الآيات والأحاديث كما وردت … فهم يثبتون اليد والعين والأعين والاستواء والضحك والتعجب .
Maksudnya: Kami beriman dengan ayat-ayat dan hadis-hadis ini sebagaimana yang dinyatakan … Maka mereka (al-Salaf) mengisbatkan Yad, ‘Ayn, A‘yun, Istiwa’, Dahik, Ta‘ajjub .[36]
Sedangkan manhaj tafwid tidak mengisbatkan semua sifat sebagaimana manhaj ithbat, kerana sifat yang lainnya akan ditakwil kepada makna majaz yang sesuai. Justeru itu hakikat yang ada dalam manhaj tafwid ialah konsep ithbat pada sesetengah sifat, dan ta’wil pada setengah sifat yang lain. Contohnya Abu al-Hasan al-Ash‘ariy yang mentakwilkan sifat reda dan ghadab (marah) Allah SWT kepada makna; kehendakNya untuk memberi nikmat dan azab bagi orang yang diredai dan dimurkaiNya. Berikut adalah kenyataannya:[37]
وأجْمَعُوْا على أنّه عز وجل يرضى عن الطَائِعِيْن له ، وأنَّ رضاهُ عنْهم إرادتُه لِنَعِيْمِهم ، وأنه يحبُّ التوَّابِيْن ويسخط على الكافرين ويغضب عليهم ، وأنّ غَضبَهُ إرادته لِعَذَابِهمْ ، وأنه لا يقومُ لغضبه شيء .
Maksudnya: Dan mereka bersepakat bahawa Allah ‘Azz wa Jall reda terhadap orang-orang yang mentaatiNya, dan bahawa redaNya terhadap mereka adalah kehendakNya untuk memberikan mereka nikmat, dan bahawa Dia menyukai orang-orang yang bertaubat dan memurkai orang-orang kafir dan memarahi mereka, dan bahawa kemarahanNya adalah kehendakNya untuk mengazab mereka, dan bahawa tidak bangkit kemarahanNya sesuatupun.
Pengisbatan Hasan al-Banna terhadap sifat fi‘liyyah seperti dahik dan ta‘ajjub telah membezakan manhajnya dari manhaj tafwid yang mentakwilkan sifat fi‘liyyah seperti reda dan ghadab, sebagaimana contohnya di atas.
MANHAJ AKIDAH HASAN AL-BANNA TERHADAP SIFAT KHABARIYYAH
Berdasarkan pembentangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa manhaj akidah Hasan al-Banna mengenai sifat khabariyyah Allah SWT ialah manhaj ithbat. Hakikat ini jelas dilihat pada tafwid haqiqahnya yang sama dengan tafwid kayfiyyah, iaitu menyerahkan hakikat dan kaifiat sebenar sifat khabariyyah kepada Allah SWT, di samping memutlakkan pendekatan tafwidnya ini untuk semua sifat khabariyyah. Dari aspek ini tafwid Hasan al-Banna berbeza dari manhaj tafwid yang hanya mentafwidkan sesetengah sifat khabariyyah tertentu dan mentakwilkannya yang lain khususnya sifat fi‘liyyah sebagaimana pendekatan sesetengah tokoh manhaj tafwid.
Hasan al-Banna juga bersikap terbuka dengan manhaj tafwid dan ta’wil, dan meraikan tokoh-tokoh mereka. Hasan al-Banna berpandangan bahawa aliran al-Khalaf juga masih tidak terkeluar dari landasan ajaran akidah yang sebenar. Justeru itulah Hasan al-Banna telah menekankan titik-titik persamaan manhaj yang ada dalam setiap manhaj ithbat, tafwid dan juga ta’wil. Aliran Salafiyyah pula tidak dapat menerima pendekatan Hasan al-Banna yang kedua ini iaitu bersikap terbuka dengan pendekatan manhaj ta’wil, kerana komitmen mereka dengan tafwid kaifiat dan istilah (والكيف مجهول); iaitu hanya kaifiat yang tidak difahami dan diketahui. Justeru kritikan golongan Salafiyyah terhadap Hasan al-Banna bukan kerana adanya perbezaan manhaj akidah dengan mereka, tetapi kerana sikap terbukanya terhadap manhaj tafwid dan ta’wil, sebagaimana intipati pertikaian pendapat yang terjadi di antara Hasan al-Banna dengan seorang pembaca beraliran Salafiyyah dalam majalah al-Manar bagi terbitan di antara tahun 1939-1940.
KESIMPULAN
Berdasarkan pembentangan di atas, penulis merumus dan menyimpulkan bahawa Hasan al-Banna memilih manhaj akidah al-Salaf sebagai manhaj akidahnya kerana rujukan utama ialah kepada rujukan asli al-Quran dan al-Sunnah. Namun, oleh kerana umat Islam berselisih pendapat tentang manhaj sebenar akidah al-Salaf sama ada ia adalah ithbat atau tafwid, maka demikian juga persoalan tentang manhaj akidah Hasan al-Banna. Walau bagaimanapun dapatan kajian mendapati manhaj akidah Hasan al-Banna adalah serupa dengan manhaj ithbat. Keserupaannya merujuk pada istilah tafwid haqiqah yang digunakan beliau dalam risalah al-‘Aqa’id dan majalah al-Manar, yang seerti dengan tafwid kayfiyyah. Hasan al-Banna juga memutlakkan ithbat bagi semua sifat khabariyyah sepertimana pegangan manhaj ithbat, tanpa mengecualikan sifat fi‘liyyah sebagaimana yang diadaptasi oleh manhaj tafwid.
Walau bagaimanapun manhaj akidah Hasan al-Banna tidak terikat dengan disiplin manhaj ithbat. Contohnya Hasan al-Banna menggunakan istilah tafwid haqiqah bagi merujuk pada tafwid kayfiyyah yang menjadi istilah utama bagi manhaj ithbat. Selain itu, Hasan al-Banna juga bersikap terbuka dengan manhaj akidah tafwid dan ta’wil sedangkan aliran Salafiyyah yang berpegang dengan manhaj ithbat amat keras dan tegas menolak pendekatan dua manhaj tersebut.
[1] Hasan al-Banna (1992), “Risalah al-‘Aqa’id”, dalam: Majmu’ah Rasa’il al-Imam al-Shahid Hasan Al-Banna, al-Qaherah: Dar al-Shihab, h. 417.
[2] Pengertian sifat khabariyyah Allah SWT akan diterangkan selepas ini.
[3] Lihat: Ahmad bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Uthman al-Qadiy (1424H), Madhhab Ahl al-Tafwid fi Nas al-Sifat, c. 2, al-Dimam: Dar Ibn al-Jawziy. Asas konsep ithbat ini telah diperjuangkan Ibn Taymiyyah yang merupakan pelopor utama aliran Salafiyyah, lihat: Ahmad bin Taymiyyah (2004), Majmu’ Fatawa, susunan: ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Qasim dan Muhammad bin ‘Abd al-Rahman, jld. 6, al-Madinah al-Munawwarah: Mujamma‘ al-Malik Fahd li Tiba‘ah al-Mushaf al-Sharif, dan; Ahmad bin Taymiyyah (1991), Dar’u Ta‘arud al-‘Aql wa al-Naql, tahqiq: Muhammad Rashad Salim, c. 2, juz. 2, al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Sa‘udiyyah: Jami‘ah al-Imam Muhammad bin Sa‘ud al-Islamiyyah.
[4] Lihat: Muhammad ‘Abd al-Halim Hamid (1988), Ma‘an ‘ala Tariq al-Da‘wah; Shaykh al-Islam Ibn Taymiyyah wa al-Imam al-Shahid Hasan al-Banna, T.T.P: Dar al-Tawzi‘ wa al-Nashr al-Islamiyyah; ‘Isam Ahmad al-Bashir (1990), Manhaj al-Imam al-Banna fi al-‘Aqidah, al-Sudan: Dar al-Nadhir; Jumu‘ah Amin ‘Abd al-‘Aziz (1990), Fahm al-Islam fi Zilal al-Usul al-‘Ishrin li al-Imam Hasan al-Banna, al-Iskandariyyah: Dar al-Da‘wah.
[5] Noresah binti Baharom (2000) (ed.), Kamus Dewan; Edisi Ketiga, c. 3, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 499.
[6] Ahmad bin Taymiyyah (2004), op. cit., jld. 5, h. 26.
[7] Khalid bin ‘Abd Allah Bahamid al-Ansariy (1424H), Sharh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, T.T.P: Dar al-I‘tisam li al-Nashr, h. 13.
[8] Abu Fadl Jamal al-Din Muhammad bin Mukrim ibn Manzur al-Afriqiy al-Misriy (1990), Lisan al-‘Arab, jld. 11, Bayrut: Dar Sadir, h. 210.
[9] Abu al-Ma‘aliy ‘Abd al-Malik bin ‘Abd Allah bin Yusuf al-Juwayniy (1992), Al-‘Aqidah al-Nizamiyyah fi al-Arkan al-Islamiyyah, tahqiq: Muhammad Zahid al-Kawthariy, al-Jami‘ al-Azhar: al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turath, h. 32.
[10] Salafiyyah ialah merujuk kepada segolongan umat Islam yang menyeru umat Islam agar kembali kepada manhaj akidah Islam sebenar sebagaimana yang pernah dipegang oleh generasi al-Salaf al-Salih. Di antara tokoh utama golongan ini ialah Ibn Taymiyyah dan muridnya Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Golongan al-Khalaf pula menafikan dakwaan Salafiyyah ini, bahkan manhaj al-Salaf al-Salih menurut al-Khalaf adalah berbeza dengan pemahaman Salafiyyah.
[11] Lihat: Mohammad ‘Abd al-Halim Hamid (1988), Ma‘an ‘ala Tariq al-Da‘wah: Syaykh al-Islam Ibn Taymiyyah wa Imam al-Shahid Hasan al-Banna, T.T.P: Dar al-Tawzi‘ wa al-Nashr al-Islamiyyah.
[12] Lihat: ‘Isam Ahmad al-Bashir (1990), Manhaj al-Imam al-Banna fi al-‘Aqidah, Khartum: Dar al-Nadhir.
[13] Lihat: Jumu‘ah Amin ‘Abd al-‘Aziz (1990), Fahm al-Islam fi Zilal al-Usul al-Ishrin, al-Iskandariyyah: Dar al-Da‘wah.
[14] Hasan al-Banna mengambil alih teraju majalah al-Manar dengan amanat dan kepercayaan daripada ahli keluarga Muhammad Rashid Reda pada tahun 1939, yang menyaksikan timbulnya perselisihan pandangan di antara beliau dengan pembaca al-Manar yang bermanhaj Salafiyyah tentang isu ayat al-sifat wa ahadithuha (khususnya sifat khabariyyah). Perselisihan pandangan ini secara jujurnya telah diterbitkan dalam tiga keluaran iaitu siri 5 dan 6 bagi keluaran tahun 1939, dan siri 8 bagi keluaran tahun 1940. Melalui keluaran-keluaran inilah Hasan al-Banna telah melengkapkan keterangan tentang identiti manhaj akidah sebenar yang dipeganginya, dan sebagai jawapan muktamad terhadap persoalan tersebut yang terbit dari risalah al-‘Aqa’id yang difahami secara berbeza oleh para penentang dan para penyokongnya.
[15] Lihat: Abu Bakr bin al-Husayn bin ‘Aliy al-Bayhaqiy (2004), Al-Asma’ wa al-Sifat, tahq: Nasir bin al-Najjar al-Dimyatiy, al-Mansurah: Dar Ibn Rajab, h. 162.
[16] Ibid.
[17] Ibid.
[18] Ibid.
[19] Ibid.
[20] Muhammad al-Salih al‘Uthaymin (1421H), Sharh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, semakan: Sa‘d bin Fawwaz al-Samayl, c. 6, jld. 1, al-Riyad: Dar Ibn al-Jawziy, h. 79.
[21] Hasan al-Banna (1992), op. cit., h. 412.
[22] Ibid.
[23] Ibid., h. 414.
[24] Ibid., h. 416.
[25] Ibid., h. 417.
[26] Ibid., h. 412.
[27] Ibid., h. 403.
[28] Ibid., h. 404.
[29] Hasan al-Banna (1939), “Intiqad al-Manar”, dalam; Al-Manar, jld. 35, juz. 6, Ogos 1939.
[30] Ibid.
[31] Ibid.
[32] Hasan al-Banna (1939), “Fatawa al-Manar”, dalam; Al-Manar, jld. 35, juz. 5, Julai 1939, h. 20.
[33] Istilah-istilah yang digunakan oleh Hasan al-Banna bagi merujuk pada tafwid kayfiyyah ialah (تفويض حقيقة); iaitu serah hakikat, dan (كُنْهُها); iaitu hakikatnya. Istilah inilah yang cuba dibuktikan oleh para penyokong Hasan al-Banna bahawa ia seerti dengan tafwid kayfiyyah, dan seterusnya ia selari dengan manhaj akidah Ibn Taymiyyah yang memperjuangkan manhaj ithbat.
[34] Hasan al-Banna (1939), “Fatawa al-Manar”; op. cit., h. 20-21.
[35] Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam bin Taymiyyah (2000), Al-Tadmuriyyah, tahqiq: Muhammad bin ‘Awdah al-Sa‘wiy, c. 6, al-Riyad: Maktabah al-‘Abikan, h. 111.
[36] Hasan al-Banna (1992), op. cit., h. 412.
[37] Lihat: Abu al-Hasan al-Ash‘ariy (2002), Risalah ila Ahl al-Thaghr, tahqiq: ‘Abd Allah Shakir Muhammad al-Junaydiy, c. 2, al-Madinah al-Munawarah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, h. 231.