KUNJUNGAN HORMAT KEPADA TYT DATO’ DUTA
Kaherah,13 Oktober 2024 -YABrs. Prof. Dr. Mazlan Bin Ibrahim, Rektor KIAS telah melakukan kunjungan hormat ke atas TYT Duta Besar Malaysia ke Mesir, Dato’ Mohd Tarid Sufian.
Kunjungan hormat itu adalah bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu yang berkepentingan serta usaha mengukuhkan hubungan yang bakal memberi manfaat bersama.
Di dalam pertemuan tersebut, Dato’ TYT mengalu-alukan kehadiran dan mengucapkan selamat datang kepada rombongan dan pelajar KIAS. Beliau turut berkongsi peranan utama dan fungsi Kedutaan Besar Malaysia di Mesir yang banyak membantu kelancaran perjalanan mahasiswa di bumi Mesir beserta isu-isu kebajikan dan keselamatan yang berkaitan.
Kedua-dua pihak bertukar pandangan berkenaan perancangan KIAS untuk memantapkan lagi kerjasama KIAS dan pihak pengurusan pelajar Malaysia di Mesir.
Sesi perkongsian dan pertukaran buah pandangan tersebut dapat memberi nilai tambah kepada pihak KIAS dalam memajukan dasar, aktiviti perhubungan dan pendidikan yang memberikan manfaat kepada warga KIAS.
Kunjungan hormat ini juga merupakan medan pertukaran informasi dan maklumat di samping mengeratkan lagi hubungan dua hala antara pihak KIAS dan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.
Turut hadir bersama pada kunjungan hormat tersebut adalah, Ustaz Mohammad Jawwad Bin Md Yusnan, Pengarah Pusat Kerjasama Antarabangsa KIAS (CENTRIK), Ustaz Che Khairulaffendy Bin Che Kamaruzaman, Pegawai Atase Pendidikan Kelantan dan timbalan beliau, Ustaz Nawi Bin Saleh.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Rektor KIAS dan rombongan atas kunjungan tersebut.