MAJLIS AMANAT REKTOR 2026 HIMPUNKAN HAMPIR 300 WARGA KIAS

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah menganjurkan Majlis Amanat Rektor 2026 pada 12 Januari 2026 bersamaan 22 Rejab 1447H bertempat di Dewan Johor, KIAS, yang menghimpunkan hampir 300 orang warga KIAS merangkumi staf akademik, staf pengurusan, staf sokongan serta kepimpinan mahasiswa.

Amanat tersebut disampaikan oleh Rektor KIAS, Profesor Dr. Mazlan bin Ibrahim, dengan tema utama “Perubahan Memerlukan Pengorbanan”, sebagai isyarat jelas bahawa tahun 2026 merupakan tahun kritikal dalam perjalanan KIAS menuju status Universiti Penuh.

Dalam amanatnya, Rektor menegaskan bahawa perubahan sebenar bukan sekadar slogan atau idea, tetapi menuntut pengorbanan masa, tenaga dan sikap, termasuk keberanian meninggalkan kebiasaan lama yang tidak lagi produktif. Amanat ini turut disandarkan kepada prinsip pengorbanan dalam Islam sebagai asas kepada pembinaan institusi berteraskan nilai Rabbani.

Majlis ini turut menyorot pencapaian signifikan KIAS sepanjang tahun 2025, antaranya pelancaran tagline “Di Sini Lahirnya Generasi Rabbani”, pemantapan akademik dan penyelidikan berimpak tinggi, pengukuhan tadbir urus, pembangunan fizikal kampus, serta peluasan jaringan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagi tahun 2026, Rektor telah menggariskan sepuluh fokus utama hala tuju KIAS, termasuk pemerkasaan staf akademik sebagai teras universiti penuh, pemantapan kualiti akademik dan inovasi pembelajaran berteraskan piawaian MQA, tadbir urus profesional berasaskan data, peningkatan visibility dan reputasi institusi, serta pengembangan strategik program Pusat Pembangunan Kemahiran KIAS (KIASDEC), Pusat Halal KIAS (KIASHAC) dan Institut Bahasa Antarabangsa dan Terjemahan (IBA).

Dalam aspek pengurusan kewangan, fokus Bajet 2026 telah digariskan dengan prinsip “Peruntukan Selari Hasil”, yang menekankan perbelanjaan terfokus, impak maksimum dengan kos munasabah, serta pelaksanaan belanjawan mengikut perancangan dan garis masa yang ditetapkan. Rektor turut menegaskan pendirian tegas institusi terhadap integriti kewangan, tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan atau salah guna peruntukan.

Amanat ini juga memperkenalkan Nilai Teras “KIAS” sebagai kompas budaya kerja institusi menuju Universiti Penuh, iaitu Kompeten, Ihsan, Aspirasi dan Sinergi, yang menjadi asas pembinaan budaya kerja profesional, berintegriti dan berpasukan dalam kalangan seluruh warga KIAS.

Kehadiran kepimpinan Persatuan Mahasiswa KIAS, Jawatankuasa Tindakan Kolej Kediaman, serta persatuan mahasiswa fakulti dan pusat turut menyerlahkan semangat kebersamaan dan sinergi antara pengurusan, staf dan mahasiswa dalam menjayakan agenda transformasi institusi.

Majlis Amanat Rektor 2026 ini menjadi medan penyatuan tekad seluruh warga KIAS untuk melangkah ke fasa baharu pembangunan institusi dengan penuh komitmen, keikhlasan dan pengorbanan, demi memastikan KIAS terus melahirkan Generasi Rabbani yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.