03 Zulkaedah 1447H/21 April 2026M, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok

Alhamdulillah, seramai lapan (8) orang peserta telah menjayakan Program Lawatan Penanda Aras ke Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) KIAS dengan kerjasama Unit Perpustakaan, pada 03 Zulkaedah 1447H bersamaan 21 April 2026M, bertempat di Universiti Malaysia Kelantan, Bachok.

Program lawatan yang berlangsung dari 9.00 hingga 11.00 pagi ini diadakan sebagai salah satu inisiatif strategik dalam memperkukuh tadbir urus penyelidikan dan pengurusan ilmu di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Melalui lawatan ini, para peserta telah diberi pendedahan secara langsung terhadap amalan terbaik oleh pihak UMK, khususnya dalam aspek pengurusan penyelidikan, penerbitan akademik serta pengurusan sumber ilmu.

Lawatan ini turut bertujuan untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap pendekatan yang lebih sistematik dan berkesan dalam memperkasa ekosistem penyelidikan institusi, di samping mengenal pasti strategi yang dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi KIAS dalam penilaian seperti Malaysia Research Assessment (MyRA®).

 Selain itu, program ini juga menjadi platform penting dalam mewujudkan jaringan kerjasama akademik antara KIAS dan UMK, khususnya dalam bidang penyelidikan, penerbitan ilmiah dan inovasi. Input serta pengalaman yang diperoleh daripada lawatan ini diharap dapat dijadikan panduan dalam usaha memperkemas sistem pengurusan penyelidikan di KIAS agar lebih tersusun, berdaya saing dan memenuhi standard institusi pengajian tinggi yang cemerlang, di samping menambah baik aspek tadbir urus RMC secara lebih sistematik dan berkesan.