MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2025 DAN MAJLIS PERSARAAN KAKITANGAN

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Majlis Persaraan Kakitangan pada Khamis, 26 Zulkaedah 1447H bersamaan 14 Mei 2026 bertempat di Dewan Johor, Kampus B, KIAS bagi menghargai sumbangan dan komitmen warga kerja yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta jasa bakti kakitangan yang menamatkan perkhidmatan.

Majlis telah disempurnakan oleh YABrs. Prof. Dr. Mazlan bin Ibrahim, Rektor KIAS dan turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi, Dekan-Dekan Fakulti, Pegawai-pegawai, para pensyarah dan kakitangan pengurusan KIAS.

Dalam ucapan beliau, YABrs. Prof. Rektor menzahirkan penghargaan kepada semua penerima anugerah dan pesara atas dedikasi serta pengorbanan mereka dalam memartabatkan kecemerlangan organisasi.

Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 kepada 5 orang kakitangan akademik dan 5 orang kakitangan pengurusan yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang, komitmen tinggi serta pencapaian membanggakan sepanjang tahun 2025.

Seterusnya Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada dua (2) orang Pekerja Am Terbaik dan dua (2) orang Pengawal Keselamatan Terbaik bagi tahun 2025.

Selain itu, majlis turut meraikan empat (4) orang kakitangan yang bersara pada hujung tahun 2025 dan awal tahun 2026 sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas jasa serta khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan. Tayangan montaj khas dan penyampaian cenderamata kepada para pesara telah menceriakan suasana serta menyentuh hati para hadirin.

Penganjuran majlis ini diharap dapat menjadi platform untuk menyuntik motivasi kepada seluruh warga kerja agar terus memberikan perkhidmatan terbaik, berintegriti dan berdaya saing dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

“DI SINI LAHIRNYA GENERASI RABBANI”