LAWATAN PENANDA ARAS KE PEJABAT PERPUSTAKAAN DAN PENGURUSAN ILMU & PENERBIT UMK

11 Zulkaedah 1447H/29 April 2026M, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu & Penerbit UMK, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok.

Alhamdulillah, Lawatan Penanda Aras ke Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu & Penerbit UMK, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai lapan (8) orang peserta. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) KIAS dengan kerjasama Unit Perpustakaan, pada 11 Zulkaedah 1447H bersamaan 29 April 2026M, bertempat di Universiti Malaysia Kelantan, Bachok.

Program yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 2.00 petang ini merupakan satu inisiatif strategik dalam memperkukuh aspek pengurusan penerbitan dan perpustakaan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Melalui lawatan ini, para peserta memperoleh pendedahan secara langsung terhadap pengurusan perpustakaan, khususnya dalam aspek sistem peminjaman buku dan pengurusan sistem dalam talian. Selain itu, peserta turut dibawa melawat ke sekitar perpustakaan UMK bagi melihat sendiri kemudahan dan fasiliti yang disediakan, termasuk ruang pembelajaran, koleksi bahan rujukan serta perkhidmatan sokongan kepada pengguna. Peserta juga berpeluang memahami amalan terbaik yang dilaksanakan oleh pihak perpustakaan dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta pengurusan sumber maklumat.

Selain itu, melalui lawatan ini juga, para peserta turut memperoleh pendedahan berkaitan proses penerbitan yang dilaksanakan oleh Penerbit UMK. Peserta didedahkan dengan tatacara dan aliran proses penerbitan secara menyeluruh, serta pelbagai maklumat penting yang dapat membantu meningkatkan kefahaman dan kecekapan dalam mengurus aktiviti penerbitan di KIAS.

Di samping itu, program ini berfungsi sebagai salah satu inisiatif dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik antara KIAS dan UMK, khususnya dalam bidang kepustakaan. Ilmu dan pendedahan yang diperoleh melalui lawatan ini diharapkan dapat dimanfaatkan sebagai panduan dalam usaha meningkatkan kecekapan tadbir urus di KIAS ke arah yang lebih baik dan sistematik.