KIAS HIMPUNKAN HAMPIR 300 PESERTA DALAM DAURAH ANTARABANGSA AL-SANAD AL-YAMANI

KOTA BHARU, 28 Jun – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah berjaya menganjurkan Daurah Antarabangsa Al-Sanad Al-Yamani dengan menghimpunkan hampir 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk para ulama, asatizah, imam, guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK), guru-guru pondok dan tahfiz, pensyarah, pegawai-pegawai agama, mahasiswa serta pencinta ilmu hadis. Program yang berlangsung di Dewan Johor, KIAS bermula jam 9.30 pagi hingga 12.45 tengah hari itu menampilkan Al-Fadhil Al-Syaikh Al-Muhaddith Al-Qadhi Dr. Yasir al-‘Adni bin Salim al-Syahiri dari Tarim, Hadramaut, Yaman. Syeikh membacakan dan mengijazahkan sanad dari jalur Yaman melalui kitab hadis Tsulathiyyat Al-Bukhari, Al-Tirmidzi, Ibn Majah Dan Al-Darimi.

Majlis diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutup yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Haji Kamarulzaman bin Mohamad, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, mewakili Yang Berhormat Dato’ Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa gembira dan penghargaan atas kejayaan KIAS menganjurkan Daurah Antarabangsa Al-Sanad Al-Yamani yang menghimpunkan hampir 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. Beliau turut menyatakan komitmen dan sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap penganjuran program-program ilmiah, khususnya yang bertaraf antarabangsa, sebagai usaha memperkukuhkan budaya ilmu, tradisi talaqqi serta pengajian al-Quran, al-Sunnah dan turath Islam di Negeri Kelantan. Beliau turut menyuarakan harapan agar KIAS terus berkembang sebagai Majma’ al-‘Ulama’, iaitu medan perhimpunan para ulama dan ilmuwan Islam yang menyatukan kepakaran daripada institusi pengajian tinggi, pondok, tahfiz, masjid dan agensi-agensi Islam di negeri ini.

Sementara itu, Rektor KIAS dalam ucapan alu-aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) serta semua pihak yang menjayakan program berprestij ini. Beliau menegaskan komitmen KIAS dalam memartabatkan tradisi pengajian al-Quran, al-Sunnah dan turath melalui peranan fakulti-fakultinya, khususnya Fakulti Usuluddin, al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Syariah dan Muamalat, Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab serta Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan, yang saling melengkapi dalam melahirkan graduan berteraskan integrasi ilmu naqli dan aqli. Beliau turut mengalu-alukan kemasukan pelajar baharu bagi Sesi Jun 2026 ke pelbagai program pengajian di peringkat PhD, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma sebagai usaha melahirkan lebih ramai generasi rabbani yang berilmu dan berakhlak.

KIAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana, para peserta dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama sehingga program berlangsung dengan lancar mengikut jadual. Semoga penganjuran Daurah Antarabangsa Al-Sanad Al-Yamani menjadi pemangkin kepada pengukuhan budaya ilmu, tradisi sanad dan jaringan keilmuan Islam, sekali gus memperkasakan peranan KIAS sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang unggul di Negeri Kelantan dan rantau Nusantara.