BENGKEL TRANSFORMASI LAPORAN PENYELIDIKAN KEPADA MANUSKRIP BUKU ILMIAH
19 Mei 2026M/02 Zulhijah 1447H, Bilik Seminar 2, KIAS.
Alhamdulillah, satu program BENGKEL TRANSFORMASI LAPORAN PENYELIDIKAN KEPADA MANUSKRIP BUKU ILMIAH anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan dalam kalangan pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Program ini dianjurkan pada 02 Zulhijah 1447H bersamaan 19 Mei 2026M bertempat di Bilik Seminar 2, KIAS dengan menampilkan Dr. Noor Hisham bin Md Nawi, Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai penceramah jemputan.
Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini diadakan sebagai salah satu inisiatif strategik dalam memperkukuh budaya penerbitan ilmiah dan meningkatkan penghasilan buku akademik dalam kalangan pensyarah KIAS. Melalui bengkel ini, para peserta telah didedahkan dengan kepentingan transformasi laporan penyelidikan kepada manuskrip buku ilmiah serta peranannya dalam memperluaskan penyebaran hasil penyelidikan akademik.
Selain itu, program ini turut memberi penekanan terhadap struktur dan format penulisan manuskrip buku akademik serta membimbing peserta dalam proses pengolahan semula kandungan laporan penyelidikan kepada bentuk manuskrip yang lebih sistematik dan berkualiti. Sesi amali yang dijalankan turut membantu peserta menyediakan draf awal manuskrip buku ilmiah berdasarkan hasil penyelidikan masing-masing secara lebih berkesan.
