KIAS TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARI KOSOVO, BINCANG POTENSI KERJASAMA ANTARABANGSA

KOTA BHARU, 19 NOVEMBER 2026 – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menerima kunjungan hormat Dr. Feim Dragusha, Pengasas Institusi Pendidikan Islam dari Kosovo, bersama Dr. Mohd Roshdi bin Hassan, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam satu pertemuan bagi meneroka peluang kerjasama antarabangsa pada masa hadapan.

Pertemuan ini dipengerusikan oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan) KIAS, YBrs. Dr. Nurul Akma bt Mohamed dan turut dihadiri Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBrs. Dr. Tuan Mohd Sapuan bin Tuan Ismail serta Pendaftar KIAS, YBrs. Tuan Haji Mohd Zahari bin Sulaiman.

Dr. Feim Dragusha merupakan seorang pendakwah yang mempunyai pengalaman luas dalam usaha memperkenalkan Islam di Eropah. Beliau menguasai beberapa bahasa, termasuk bahasa Albania, Jerman, Arab, Inggeris dan Bahasa Malaysia. Beliau juga merupakan penulis prolifik dengan penghasilan sebanyak 22 buah buku, khususnya berkaitan pengenalan dan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Eropah. Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai imam di Switzerland selama 10 tahun.


Kunjungan ini menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman serta memberi peluang kepada delegasi untuk mengenali dengan lebih dekat peranan, fungsi dan perkembangan KIAS sebagai institusi pengajian tinggi Islam milik Kerajaan Negeri Kelantan.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah potensi jalinan kerjasama strategik yang merangkumi pertukaran pelajar dan pensyarah, khususnya dalam bidang dakwah, di samping penerokaan peluang kolaborasi akademik dan perkongsian kepakaran pada peringkat antarabangsa.

Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Mohd Azhar bin Abdullah (Dekan Fakulti Syariah dan Muamalat), Dr. Saufi bin Hj Abdullah (Dekan Fakulti Usuluddin dan al-Quran & Sunnah), Dr. Hisyamuddin bin Mohd Yusoff (Pengarah Institut Bahasa Antarabangsa dan Terjemahan), En. Wan Ahmad Ikmal bin Wan Mohamed @ Adnan Pengarah (Pusat Pembangunan Akademik), Puan Siti Juliani binti Mat Jusoh (Penolong Pendaftar Kanan Unit Khidmat Pengurusan) serta Puan Norhaslinda binti Abd Razak (Penolong Pendaftar Unit Penerbitan).

Kunjungan ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan berterusan, sekali gus memperluas jaringan antarabangsa serta memperkukuh peranan KIAS dalam melahirkan generasi Rabbani yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia.

#Jom MasukKIAS #DiSiniLahirnyaGenerasiRabbani