KUNJUNGAN HORMAT YB DATUK SERI HAJI TAKIYUDDIN BIN HASSAN KE KIAS
7 Mei 2026 – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) hari ini menerima kunjungan hormat daripada YB Datuk Seri Haji Takiyuddin bin Hassan yang juga Ahli Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) bersama YABrs. Encik Nik Jessim bin Nik Hashim, Pengarah YAKIN serta Pegawai-pegawai YAKIN.
Lawatan diadakan ke asrama lelaki dan bilik-bilik kuliah khususnya di bangunan Akademik I bagi meninjau keadaan semasa kemudahan kediaman pelajar serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran (PdP). Tinjauan tersebut juga bertujuan mengenal pasti keperluan penambahbaikan dan kerja-kerja pembaikan kemudahan demi memastikan keselesaan pelajar serta kelancaran proses PdP di KIAS.
Delegasi kunjungan hormat tersebut telah disambut oleh barisan pengurusan tertinggi KIAS serta pegawai-pegawai kanan institusi. Dalam sesi pertemuan tersebut, pelbagai perkara berkaitan pembangunan akademik, pengukuhan tadbir urus institusi dan usaha memperkasakan peranan KIAS sebagai institusi pendidikan tinggi Islam turut dibincangkan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan. Pihak KIAS merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian YB Datuk Seri Haji Takiyuddin bin Hassan meluangkan masa mengadakan kunjungan hormat ke kampus ini. Diharapkan pertemuan ini dapat memperkukuhkan lagi kerjasama strategik demi kecemerlangan pendidikan dan pembangunan ummah.
