KOTA BHARU, 18 Julai 2025 – Seramai 10 orang mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), yang terdiri daripada pelajar Diploma Kaunseling dan Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak, telah diberi kepercayaan sebagai fasilitator bagi Kem Kepimpinan SMU (A) Azhariah, Melor yang berlangsung pada 16 hingga 18 Julai 2025 bertempat di Raja Dagang Resort.
Para fasilitator ini juga merupakan ahli aktif Kelab Fasilitator KIAS, yang berperanan membantu membimbing seramai 80 orang pemimpin pelajar sekolah tersebut. Sepanjang program, mahasiswa KIAS telah mengendalikan qiamullail, tazkirah ringkas, aktiviti kepimpinan, pembinaan sahsiah, komunikasi berkesan, dan latihan kerjasama berkumpulan.
Pengarah program, Ustazah Fatin , menyatakan penghargaan kepada KIAS atas sokongan dan komitmen mahasiswa yang berjaya mewujudkan suasana kem kepimpinan yang interaktif dan bermakna. Pihak sekolah turut menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama ini pada masa hadapan sebagai usaha melahirkan generasi pelajar yang berwibawa.
Kejayaan ini membuktikan peranan KIAS bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tinggi, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam pembangunan modal insan di peringkat sekolah dan komuniti setempat.