Kelas Asas Komunikasi Bahasa Mandarin anjuran Institut Bahasa Antarabangsa (IBA-KIAS) telah dirancang khusus untuk ADUN-ADUN Negeri Kelantan yang bertujuan untuk memperkenalkan asas-asas komunikasi bahasa Mandarin kepada peserta yang terdiri daripada ADUN bagi meningkatkan kebolehan berkomunikasi menggunakan Bahasa Mandarin yang menjadi antara bahasa komunikasi utama masyarakat Cina di negeri ini. Program ini juga dirangka bagi mengadakan penutup kursus di Universiti Jinan, Guangzhou China selepas tamat sesi dalam kelas di KIAS kelak.
Pada 8 Oktober 2024, Majlis Perasmian Kelas Asas Bahasa Mandarin dimulai dengan ketibaan peserta pada jam 2.30 petang diikuti dengan ketibaan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, YB Dato Abdul Rahman Yunus dan seterusnya YB Kamaruzaman Mohamad yang mewakili YB Dato’ Haji Wan Roslan Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KIAS Darulnaim Sdn. Bhd., yang dijemput untuk menyampaikan ucapan perasmian.
Dalam ucapan perasmian YB Kamaruzaman Mohamad menyatakan bahawa program ini penting untuk meningkatkan kemahiran asas komunikasi bahasa Mandarin dalam kalangan ADUN kerana secara geopolitiknya Bahasa Mandarin adalah setara penting dengan Bahasa Inggeris pada masa kini. Di samping itu juga ia dapat memperkukuh hubungan di peringkat tempatan dan antarabangsa dan juga menunjukkan usaha kerajaan negeri dalam memperluaskan penguasaan bahasa antarabangsa dalam kalangan pemimpin, katanya lagi.
Beliau juga merakamkan penghargaan terhadap BBC dan KIAS atas inisiatif bagi mengadakan program sebegini yang pertama kali diadakan serta mengimbau sejarah bahawa cetusan idea ini adalah hasil dari usaha Almarhum Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meletakkan asas agar masyarakat Melayu Islam negeri ini pandai berbahasa Mandarin suatu ketika dahulu bagi memudahkan kerja-kerja dakwah, komunikasi dan perdagangan.
Majlis diakhiri dengan slot penyerahan kit nota kursus asas komunikasi bahasa Mandarin kepada peserta sebagai bahan rujukan dan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan.Kejayaan program ini diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan kemahiran bahasa antarabangsa di kalangan pemimpin negeri dan memperkukuh hubungan diplomatik serta sosial di peringkat tempatan dan luar negara.