MAJLIS PERTUKARAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SULTAN ISMAIL PETRA (KIAS) DAN KELANTAN UTILITIES MUBAARAKAN HOLDINGS SDN BHD (KUM)
Pada 10 Oktober 2024, satu majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) telah diadakan bersempena dengan International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Majlis pertukaran MoU ini dihadiri oleh YB Dato’ Haji Wan Roslan Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KIAS Darulnaim Sdn. Bhd., YABrs. Prof. Dr. Mazlan bin Ibrahim dari KIAS dan YBhg. Dr. Roshdi bin Hassan, Pengurus Besar KUM. Turut menyaksikan pertukaran MoU ini adalah Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Puan Wan Illy Liana Wan Mat dan Ketua Pegawai Operasi (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan) Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Wan Mohd Husni Wan Osman.
MoU ini merupakan persefahaman rasmi antara KIAS dan KUM untuk melaksanakan projek pemasangan sistem tenaga solar di KIAS. Projek ini akan menjadi satu langkah penting dalam menjadikan KIAS sebagai model institusi pendidikan yang menggunakan sumber tenaga hijau dan lestari.
KIAS akan melaksanakan inisiatif ini bagi mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik dengan menggunakan tenaga solar yang boleh diperbaharui. Dalam jangka masa panjang, usaha ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada KIAS, tetapi juga kepada masyarakat setempat dan industri pendidikan dalam memahami kelebihan teknologi hijau.
Pelaksanaan projek ini dijangka bermula dalam tempoh dua bulan selepas majlis pertukaran MoU, dengan fasa pertama melibatkan pemasangan panel solar antaranya di Dewan Iraq dan Asrama Khadijah. Keseluruhan projek dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
Selain itu, KIAS dan KUM juga melihat peluang kerjasama jangka panjang dalam beberapa aspek lain. Antaranya termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama dalam bidang tenaga hijau, serta program latihan dan kemahiran yang memfokuskan kepada teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Kedua-dua pihak berhasrat untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor teknologi hijau, yang akan memberikan manfaat kepada pelajar, tenaga pengajar, serta masyarakat setempat.
Dengan adanya kerjasama ini, kedua-dua pihak yakin bahawa usaha ini akan membawa impak positif dalam usaha mempromosikan kelestarian alam sekitar serta pembangunan teknologi hijau di Malaysia.