KOTA BHARU, 22 NOVEMBER 2026 – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menerima lawatan mahabbah daripada delegasi Muslimah Narathiwat, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Thailand bertempat di Bilik Mesyuarat Pentadbiran, KIAS hari ini.
Rombongan seramai 21 orang ini terdiri daripada 15 orang Muslimah dan 6 orang Muslimin, diketuai oleh Yang Dipertua (YDP) Muslimah Narathiwat, Puan Sarina Cheloh. Delegasi Muslimah Narathiwat merupakan entiti di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat yang aktif menggerakkan hal ehwal agama, kebajikan dan pemerkasaan komuniti Islam di wilayah selatan Thailand.
Kunjungan ini menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman serta memberi peluang kepada delegasi untuk memperoleh nasihat dan tunjuk ajar daripada pihak pengurusan KIAS berkaitan hal ehwal agama, pendidikan Islam, dan pembangunan ummah. Antara perkara utama yang dibincangkan ialah perkongsian amalan terbaik dalam bidang pendidikan Islam serta potensi jalinan kerjasama dan program silaturahim yang dapat mempererat hubungan antara institusi Islam di Kelantan dan Wilayah Narathiwat pada masa hadapan serta peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di KIAS.
Turut hadir ialah Dr. Saufi bin Abdullah, Dekan Fakulti Usuluddin dan al-Quran & Sunnah serta pegawai-pegawai KIAS yang bersama-sama menyantuni delegasi sepanjang sesi pertemuan berlangsung.
Kunjungan ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan berterusan, sekali gus memperluas jaringan serantau serta memperkukuh peranan KIAS dalam melahirkan generasi Rabbani yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia.
#JomMasukKIAS #DiSiniLahirnyaGenerasiRabbani